Pages

Saturday, March 31, 2012

2 peguam dituduh tipu RM12j


DINESH ditemani isteri selepas dibebaskan dengan ikat jamin RM200,000 bersabit kes pecah amanah di Mahkamah Sesyen Jalan Duta.
DINESH ditemani isteri selepas dibebaskan dengan ikat
 jamin RM200,000 bersabit kes pecah amanah
 di Mahkamah Sesyen Jalan Duta.

Seleweng tabung amanah Orang Asli beli 27 kondo


KUALA LUMPUR: Dua peguam anak beranak, S Kanawagi dan Dinesh Kanavaji mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas 11 tuduhan pecah amanah dan bersubahat mengeluarkan wang daripada Tabung Amanah `Linggui Valey Orang Asli (Jakuns) Trust' berjumlah RM12 juta, sembilan tahun lalu.
Bagi tuduhan pertama, Kanawagi, 67, didakwa sebagai ejen pemegang amanah dana terbabit dengan curangnya melakukan pecah amanah meluluskan pengeluaran wang RM7 juta bagi pembelian 27 kondominium di Lanai Gurney di sini, untuk kepentingan sendiri serta Syarikat Virgin Properties, antara 14 Julai 2008 hingga 13 Julai 2009.

Bagi tuduhan kedua hingga ketiga, dia didakwa membuat dua pindahan telegrafik masing-masing RM328,279.83 dan RM47,933.42 antara 17 Januari 2003 hingga 28 Februari 2004.

Kanawagi juga menghadapi tujuh tuduhan mengeluarkan wang daripada akaun amanah itu RM2.5 juta bermula 2001 hingga 2008.

Bagi tuduhan ke-11, Kanawagi didakwa bertindak bertentangan dengan pemegang amanah mengeluarkan wang daripada tabung sama RM2.2 juta untuk dibayar kepada penama Hamzah Mohamed Tahir, 66.

Sementara itu, anak lelakinya, Dinesh, 34, didakwa bersubahat dengan Kanawagi dalam meluluskan pengeluaran wang dana itu RM7 juta bagi pembelian kondominium untuk kepentingannya serta syarikat Virgin Properties, yang mana tertuduh adalah salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat itu. 
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Tetuan Khana & Company, Nombor 3 Jalan Abdullah, Off Jalan Bangsar di sini, dan bagi semua tuduhan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Mahmud Abdullah membenarkan kedua-duanya diikat jamin masing-masing RM700,000 dengan dua penjamin dan RM200,000 dengan seorang penjamin. 

Mahkamah juga mengarahkan kedua-duanya menyerahkan pasport antarabangsa serta menetapkan 15 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Manjeet Singh Dhilon manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Farhan Read dan C Vignesh Kumar.

Sehingga jam 4.30 petang semalam, hanya Kanawagi membayar jaminan RM700,000.
Pada 31 Mei 2011, Kanawagi dihukum penjara enam tahun dan didenda RM80,000 oleh Hakim Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah atas dua tuduhan memalsukan surat kuasa (PA) dan satu tuduhan memberikan keterangan palsu dalam satu prosiding saman pemula, 19 tahun lalu.

Hakim Rosenani Abdul Rahman, membenarkan hukuman penjara itu ditangguhkan sehingga Mahkamah Tinggi membuat keputusan rayuan Kanawagi dengan menaikkan jaminan daripada RM200,000 kepada RM400,000.
'via Blog this'

No comments: