Pages

Saturday, March 31, 2012

‘Henti segera’

myMetro | ‘Henti segera’:

DAMSYIK: Bekas Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan, menggesa Presiden Syria, Bashar al-Assad, melaksanakan gencatan senjata serta-merta ketika pertempuran berlanjutan semalam.
Wakil khas PBB dan Liga Arab itu mengeluarkan kenyataan merayu pelaksanaan gencatan senjata apabila pemantau mendakwa, tentera Bashar terus mengebom bandar Homs yang menjadi kubu kuat pemberontak.

“Kami berharap Bashar melaksanakan pelan ini serta-merta.
“Adalah jelas kita tidak melihat gencatan senjata dilakukan dan ia amat membimbangkan,” katanya.

Menurut Annan, dia tidak dapat menjangkakan apa langkah akan diambil jika pertempuran tidak ditamatkan segera.

Selain Bashar, Annan juga cuba meyakinkan pemberontak supaya meletak senjata dan memulakan rundingan.
Annan cuba mencari penyelesaian krisis Syria dengan mengemukakan pelan damai enam perkara, membabitkan komitmen menamatkan semua keganasan bersenjata, gencatan senjata harian selama dua jam untuk membolehkan bantuan kemanusiaan diberikan, liputan media ke kawasan pertempuran, proses politik menyeluruh diketuai warga Syria, hak menunjuk perasaan dan pembebasan tahanan politik.

Pada masa sama, aktivis menggesa orang ramai mengadakan lebih banyak demonstrasi selepas solat Jumaat bagi mengecam negara Arab kerana “mengabaikan” penunjuk perasaan tanpa mengirim senjata bagi menghadapi tentera kerajaan.
Agensi berita SANA melaporkan, Bashar memaklumkan Annan bahawa Syria meluluskan pelan damai dikemukakan, tetapi turut memberi pandangan mengenainya.

“Bashar akan bersungguh-sungguh menjayakan pelan enam perkara dikemukakan Annan, tetapi ia hanya akan berkesan jika tindakan pengganas dari negara asing dihentikan,” katanya.

Sementara itu, pertempuran semalam menyebabkan lima lagi terbunuh berhampiran perkampungan Bsas, Homs, apabila dua kereta yang dinaiki mereka diserang.

Pertubuhan hak asasi manusia berkata, sebelum Subuh, pertempuran berlaku di Harasta dan Irbin, Damsyik, selepas pemberontak melancarkan grenad ke atas sebuah pos pengawal.

Pertempuran sengit turut dilaporkan di wilayah Hama, tengah Syria, selain Deir Ezzor di bahagian timur negara itu. - AFP

'via Blog this'

No comments: