Pages

Thursday, January 19, 2012

Rayuan untuk rakyat Palestin




SEORANG lelaki Palestin bersama anaknya mengambil bantuan makanan bulanan mereka di pusat agihan makanan PBB di kem pelarian Shati di Gaza, kelmarin. – AFP


NEW YORK 18 Jan. - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini melancarkan rayuan bantuan kecemasan lebih AS$300 juta (RM900 juta) bagi membantu rakyat Palestin di Genting Gaza dan Tebing Barat yang masih bergelut meneruskan kehidupan berikutan serangan Israel tiga tahun lalu.
Rejim Israel melancarkan serangan besar-besaran selama tiga minggu ke atas Gaza pada Disember 2008 kononnya bertujuan menghentikan serangan roket Hamas dan kumpulan-kumpulan pejuang lain.
Sekurang-kurangnya 1,300 rakyat Palestin maut, sementara 5,300 yang lain cedera dalam serangan yang disasarkan ke atas kawasan penempatan di seluruh wilayah tersebut.
“Beratus-ratus buah rumah, sekolah, hospital dan pasar musnah sama sekali. Kesan perang itu masih wujud dan bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza amat diperlukan,” kata Timbalan Pesuruhjaya Besar Agensi Bantuan dan Kerja Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) untuk Pelarian Palestin, Margot Ellis (gambar).
Rayuan terbaru itu merangkumi tiga bantuan strategik utama iaitu keselamatan makanan, perlindungan dan kemampuan respons kecemasan.
Sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan bantuan akan disalurkan untuk menggalakkan keselamatan makanan melalui program bantuan makanan, bantuan kewangan dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Rayuan bantuan yang agak besar itu juga bertujuan melindungi hak pelarian serta meningkatkan akses rakyat Palestin ke atas bantuan kecemasan asas seperti air, kebersihan, pendidikan dan tempat perlindungan sementara.
Bercakap di ibu pejabat UNRWA di Gaza, Ellis berkata, walaupun sempadan Rafah telah dibuka, Gaza masih mengalami sekatan dan hak penduduknya terus diketepikan, satu tindakan yang salah di sisi undang-undang antarabangsa.
Israel menguatkuasakan sekatan ke atas Gaza kerana alasan keselamatan selepas Hamas yang tidak mengiktiraf Israel menyingkirkan Fatah di Gaza pada 2007.
Di sebalik sekatan tersebut, UNRWA masih meneruskan kerja-kerja pembinaan dan sehingga kini telah menyempurnakan 22 projek bernilai AS$22.5 juta (RM67.5 juta). - AGENSI

No comments: