Pages

Wednesday, January 18, 2012

Lawatan pemimpin tentera Mesir disambut dengan tunjuk perasaan


Mohamed Hussein Tantawi (kiri) diiringi Pengerusi Majlis Peralihan Kebangsaan Libya Mustafa Abdel Jalil (kanan) semasa melawat Tripoli, kelmarin. - REUTERS


TRIPOLI 17 Jan. - Lawatan pemimpin tentera Mesir ke Libya, semalam disambut dengan tunjuk perasaan yang mengecam pemimpin itu kerana gagal mengekstradisi pengikut bekas pemimpin Muammar Gaddafi yang melarikan diri ke Mesir.
Pengerusi Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata Mesir, Mohamed Hussein Tantawi mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai Libya di Hotel Corinthia, tengah Tripoli, semalam.
Ketika beliau melalui hotel berkenaan, berpuluh-puluh penunjuk perasaan yang mengadakan protes mengangkat sepanduk sebagai simbolik kepada tuntutan mereka yang mahu Tantawi mengekstradisi pengikut-pengikut Gaddafi.
Menteri Luar Libya, Ashour Khayal cuba memujuk kumpulan protes itu supaya bersurai tetapi seorang daripada penunjuk perasaan memekik 'lebihi 50 ribu rakyat Libya terkorban demi menuntut kebebasan'.
Menurut aktivis masyarakat sivil, ramai leftenan Gaddafi melarikan diri ke Mesir sejak bekas pemimpin Libya itu digulingkan pada Ogos lalu.
Rakyat Libya mahu pengikut Gaddafi yang melarikan diri itu diserahkan kepada Libya untuk dibicarakan.
Sekumpulan penunjuk perasaan dilaporkan turut membuat sekatan jalan ketika Tantawi meninggalkan bangunan hotel itu dan menghalang sebuah bas yang membawa delegasi Mesir.
Perdana Menteri kerajaan sementara Libya, Abdurrahim El-Keib berkata, beliau telah menyampaikan perkara itu semasa pertemuannya dengan Tantawi.
"Ini akan mengambil masa tetapi apa yang penting saya telah menyuarakannya dengan tegas dan jelas bahawa Libya memandang serius mengenai isu ini," kata El-Keib. - REUTERS

No comments: