Iran, Britain terus berantakan

TEHERAN - Hubungan sedia tegang antara Iran dan Britain semakin buruk apabila Britain menutup kedutaan Iran di London dan mengarahkan semua pegawai kedutaan itu keluar dari Britain dalam tempoh 48 jam, kelmarin.

Tindakan Britain itu, sehari selepas kedutaannya di Iran diserang penunjuk perasaan, dianggap terburu-buru oleh Teheran yang kemudian memberi amaran penutu-pan kedutaan Iran di London akan mencetuskan tindak balas buruk.
Setiausaha Luar Britain, William Hague berkata, kedutaan Britain di Teheran turut ditutup dan semua pekerjanya dibawa pulang.
Konflik terburuk antara kedua negara dalam tempoh 12 tahun itu tercetus selepas Britain menuduh kerajaan Iran membenarkan penunjuk perasaan menyerang bangunan kedutaan Britain di Teheran, Selasa lalu.
Serangan yang dilakukan semasa demonstrasi menentang sekatan terbaru dikenakan London ke atas Teheran itu menyebabkan bangunan kedutaan Britain rosak dan bendera negara itu turut dibakar.