Pages

Tuesday, December 6, 2011

Parti PM Rusia menang tipis

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Pegawai-pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya mengira undi di sebuah pusat pengiraan di Moscow, kelmarin. - AFP


MOSCOW 5 Dis. - Parti pemerintah pimpinan Perdana Menteri Vladimir Putin (gambar) memenangi pilihan raya Parlimen hari ini tetapi dengan pengurangan jumlah majoriti yang besar, satu tamparan kepada Putin yang merancang untuk bertanding jawatan Presiden tahun depan.

Parti Kesatuan Rusia memperoleh 238 kerusi daripada 450 kerusi Duma (Parlimen) Negara, jauh lebih sedikit berbanding 315 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya 2007, menurut Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya, Vladimir Churov yang memetik keputusan daripada 96 peratus tempat mengundi.

Parti pemerintah itu memenangi 49.54 peratus undi dalam pilihan raya Ahad lalu yang disifatkan pembangkang dibayangi dengan keganasan ketika Kesatuan Rusia berusaha mengekalkan penguasaan.

Pada pilihan raya Parlimen 2007, parti itu memenangi lebih 64 peratus undi.

Keputusan kali ini bermakna Kesatuan Rusia hampir-hampir kehilangan majoriti penuh di Duma Negara atau kehilangan majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meluluskan perubahan Perlembagaan.

Kumpulan pembangkang yang memperolehi kemenangan terbesar ialah Parti Komunis dengan 92 kerusi, diikuti Parti Keadilan Rusia (64 kerusi) dan Parti Demokratik Liberal (56 kerusi).

"Parti pemerintah perlu mencari rakan sekutu," lapor akhbar Kommersant, manakala akhbar perniagaan harian Vedomosti menggelar Kesatuan Rusia sebagai 'parti minoriti'.

Putin yang mendominasi Rusia sejak tahun 2000 dengan pengaruh yang kuat, dijangka bakal memenangi kembali jawatan Presiden pada pilihan raya tahun depan selepas empat tahun menjadi Perdana Menteri. - AFP

No comments: