Pages

Tuesday, December 6, 2011

Gunung berapi Gamalama di Indonesia meletus

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


JAKARTA 5 Dis. - Indonesia menutup sebuah lapangan terbang domestik di timur negara ini hari ini selepas sebuah gunung berapi menghamburkan abu setinggi 2,000 meter ke udara.

Gunung Gamalama yang meliputi seluruh Pulau Ternate di wilayah Maluku Utara meletus malam tadi dan memaksa pihak berkuasa menutup sebuah lapangan terbang di pekan Ternate yang terletak di kaki gunung tersebut, kata jurucakap Kementerian Pengangkutan, Bambang Ervan.

"Penutupan dilakukan sebagai langkah keselamatan kerana abu gunung berapi boleh membahayakan pesawat.

"Jika tiada lagi letusan, lapangan terbang mungkin dibuka semula esok," katanya.

Letusan gunung setinggi 1,715 meter itu mencetuskan panik di kalangan penduduk, kata seorang saintis yang memantau puncaknya, Darno Lamane.

"Ia menghamburkan abu dan debu setinggi 2,000 meter ke udara.

"Tidak ada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan tetapi penduduk yang panik menjerit dan lari keluar dari rumah mereka," katanya.

Bagaimanapun kata Darno, keadaan sudah reda dan ramai penduduk pulang ke rumah mereka tetapi pihak beliau akan terus memantau aktiviti gunung tersebut.

Kali terakhir Gunung Gamalama meletus ialah pada 2003, tanpa menyebabkan kemalangan jiwa.

Indonesia mempunyai 129 gunung berapi aktif, termasuk 21 di Pulau Jawa. - AFP

No comments: