Pages

Tuesday, December 6, 2011

Jerebu: Beijing batal ratusan penerbangan, tutup lebuh raya

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Kenderaan terpaksa menggunakan laluan alternatif selepas jerebu tebal menyelubungi bandar raya Beijing - AFP


BEIJING 5 Dis. - Pihak berkuasa Beijing hari ini terpaksa membatalkan beratus-ratus penerbangan dan menutup lebuh raya apabila bandar raya ini diselubungi jerebu tebal bermula semalam sehingga mengehadkan jarak penglihatan.

Menurut Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini, kualiti udara di Beijing sudah mencapai tahap berbahaya, manakala agensi berita Xinhua menyifatkan ia hampir kepada paras tersebut.

Rangkaian televisyen CCTV melaporkan, hampir 400 penerbangan terpaksa dibatalkan semalam.

Menjelang tengah hari ini, lapangan terbang utama Beijing menerusi laman webnya melaporkan, sebanyak 132 penerbangan domestik dan lima penerbangan antarabangsa terpaksa dibatalkan.

Dalam pada itu, siaran televisyen memaparkan beribu-ribu penumpang terkandas berkumpul di kawasan lapangan terbang untuk menunggu atau menempah penerbangan yang berikutnya jika jerebu semakin pulih.

Hampir kebanyakan lebuh raya utama yang menghubungkan Beijing dengan daerah lain di utara China ditutup awal pagi ini, namun beberapa seksyen jalan telah dibuka apabila tahap penglihatan semakin pulih.

Sementara itu, beberapa organisasi antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyenaraikan Beijing sebagai satu daripada bandar paling tercemar di dunia berhubung penggunaan tenaga yang dijana lombong arang batu.

Ketika berlangsungnya temasya sukan Olimpik pada 2008, Beijing berusaha meningkatkan kualiti udara dengan menutup stesen jana kuasa arang batu dan mengurangkan penggunaan kereta, namun pencemaran tetap tidak dapat dikurangkan. - AFP

No comments: