Ugut henti bantuan jika Palestin bersatu

Sumber berita Israel, Isnin lalu, melaporkan Amerika Syarikat (AS) menghantar mesej rahsia kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Ramallah yang menegaskan sebarang rancangan untuk mencapai perpaduan dengan kerajaan Hamas di Genting Gaza akan menyebabkan pembekuan serta-merta bantuan kewangan dari Washington kepada PA.

Menurut akhbar Israel Today, Presiden AS, Barack Obama mahu Hamas mengiktiraf semua tanah rampasan Israel dan berhenti memerangi rejim Zionis melalui surat yang dihantar wakilnya kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas jika kedua kerajaan Palestin itu mahu bergabung.

Sekutu Obama, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu juga menegaskan akan berhenti memindahkan wang kutipan cukai kepada PA jika kerajaan Palestin itu bergabung dengan Hamas.

Namun, wakil perunding Palestin, Saeb Erekat berkata, AS telah pun menghentikan bantuan kewangan kepada PA sejak Palestin diterima menjadi anggota Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa, menunjukkan sikap biadap sekutu Zionis itu yang tidak menghormati keputusan masyarakat antarabangsa untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka.