Pages

Friday, November 25, 2011

Dua warga emas, cucu maut

Dua lagi cucu, anak cedera apabila kereta bertembung treler

KAMPUNG GAJAH: Sepasang suami isteri dan seorang cucu mereka maut manakala dua lagi cucu serta seorang anak mereka cedera selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 16, Jalan Raya Bota-Teluk Intan di Kampung Pulau Tiga, dekat Kampung Gajah, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Shamsuddin Itam, 60, dan isterinya, Daimah Lun, 52, meninggal dunia di tempat kejadian manakala cucu mereka, Quratul Ayuni Mohd Halimi, 6, dalam perjalanan ke Hospital Changkat Melintang (HCM) di sini.
Tiga yang cedera ialah Nurul Izzati Mohd Rudi, 3; Mohd Danial Mohd Halimi, 5, dan Nurul Ayuni Shamsuddin, 14.
Nurul Izzati dan Nurul Ayuni dirawat di HCM manakala Mohd Danial yang cedera parah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohd Fakri Che Sulaiman, berkata ketika kejadian kereta Proton Saga dipandu Shamsuddin dalam perjalanan pulang dari Sungai Lampam, selepas mengambil Nurul Ayuni yang belajar di sebuah sekolah agama di situ.

“Sebaik tiba di satu selekoh, kereta yang dinaiki keluarga terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan bertembung dengan treler yang datang dari arah bertentangan,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, semua mangsa yang tersepit dalam kenderaan itu dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat.
Sementara itu, anak Shamsudin, Jawiriah, 31, yang menetap di Pandan Perdana, Kuala Lumpur, berkata beliau bersama dua anaknya, Quratul Ayuni dan Mohd Danial pulang ke kampung untuk menghabiskan cuti sekolah.

“Saya tidak menyangka percutian kami anak beranak berakhir dengan tragedi kerana anak perempuan saya, Quratul Ayuni yang keletah serta cerdik sudah meninggal dunia manakala adiknya, Mohd Danial patah tulang bahu.

“Saya terkilan kerana langsung tidak sempat berjumpa dengan Quratul Ayuni sebelum dia menghembuskan nafas terakhir,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat HCM di sini, semalam.
Berita Harian Online | Dua warga emas, cucu maut:

'via Blog this'

No comments: