Pages

Friday, November 25, 2011

‘Polis’ kebas RM263,000

KUALA LUMPUR: Gandingan seorang lelaki yang menyamar anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bersama seorang wanita sebagai pegawai Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) memperdaya seorang mekanik kereta sebelum melesapkan wang bernilai RM263,000 miliknya, kelmarin.

Mangsa, Teoh, 27, berkata pada jam 1.30 tengah hari pada 22 November lalu, dia menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya Koperal Marul, anggota JSJK Bukit Aman dari nombor telefon 03-2266xxxx yang mendakwa pihaknya menemui maklumat dirinya terbabit jenayah penipuan Black Money. “Pada mulanya saya tidak mengendahkan panggilan itu sebelum menerima satu lagi panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri Aini daripada MOF yang turut memaklumkan perkara sama sehari kemudian,” katanya, semalam. Katanya, wanita terbabit menyatakan siasatan perlu dilakukan ke atas akaun bank mangsa dan meminta dia memindahkan wang RM263,000 ke dalam dua akaun berlainan untuk tujuan siasatan dan berjanji memulangkan wang berkenaan selepas siasatan selesai.


“Selepas memasukkan wang berkenaan kelmarin pada jam 12.30 tengah hari, saya menghubungi nombor telefon 03-2266xxxx itu semula untuk bercakap dengan Koperal Marul, tetapi seorang pegawai polis wanita memaklumkan tiada pegawai seperti itu di JSJK.

“Pegawai berkenaan meminta saya membuat laporan polis kerana sudah tertipu,” katanya.


Mangsa membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya sebelum kes berkenaan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk siasatan lanjut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan menerima laporan berkenaan.

myMetro | ‘Polis’ kebas RM263,000:

'via Blog this'

No comments: