Pages

Friday, November 25, 2011

Banjir di Kelantan semakin buruk



PELAJAR meredah banjir selepas menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Tiang Chandi, Pasir Mas, semalam. – BERNAMA


KOTA BHARU 24 Nov. – Banjir yang melanda negeri ini semakin buruk apabila jumlah mangsa yang terjejas dan dipindahkan ke pusat pemindahan banjir meningkat kepada 1,184 orang membabitkan 288 keluarga berbanding 250 orang daripada 57 keluarga semalam.

Jumlah tersebut dijangka meningkat selepas Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat jingga bagi negeri ini akan berterusan selama beberapa hari lagi.

Menurut laman portal rasmi banjir Kelantan, http://ebanjir.kelantan.gov.my sehingga pukul 5 petang ini, sebanyak 27 pusat pemindahan banjir telah dibuka berbanding hanya empat semalam iaitu 12 di Pasir Mas dan selebihnya di Bachok, Kuala Krai, Machang, Pasir Puteh serta Tanah Merah.

Pasir Mas menjadi kawasan yang paling teruk dilanda banjir apabila seramai 446 mangsa daripada 121 keluarga telah dipindahkan diikuti Kota Bharu sebanyak 361 mangsa daripada 73 keluarga.

Tiga jalan utama di Pasir Mas telah ditutup kepada semua kenderaan iaitu Jalan Pohon Tangjung ke Meranti, Jalan Pohon Tanjung - Rantau Panjang dan Jalan Rantau Panjang menuju ke Panglima Bayu.

Sebuah jalan di Machang turut ditutup iaitu Jalan Machang - Pangkal Meleret - Wakaf Bata, manakala di Tanah Merah, Jalan Tanah Merah - Kusial - Kampung Ipoh juga tidak boleh dilalui.

Sementara itu, bacaan paras air di beberapa sungai utama mendapati berlaku peningkatan yang paling ketara terutama Sungai Golok di Rantau Panjang yang berada di paras bahaya iaitu pada kedalaman 10.24 meter berbanding tahap normal sembilan meter.

Paras air Sungai Kelantan di pusat bacaan Jambatan Gullemard, Tanah Merah turut berada di paras bahaya iaitu 26.10 meter berbanding kedalaman normal 16 meter.

Dalam pada itu, sebuah klinik kesihatan dan tiga klinik desa di Pasir Mas terpaksa ditutup dan kelengkapannya telah dipindahkan selepas kawasan tersebut terputus hubungan kerana dinaiki air.

Klinik berkenaan adalah Klinik Kesihatan Rantau Panjang yang telah ditenggelami air dan kesemua peralatannya telah dipindahkan ke Madrasah Kubang Kual.

Tiga klinik desa yang ditutup adalah di Lubok Stol, Kampung Rahmat dan Jejawi yang ketiga-tiganya masing-masing telah dipindahkan ke Dewan Rukun Tetangga Lubok Stol, Madrasah Kampung Rahmat dan Sekolah Menengah Perempuan Pasir Mas.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments: