Pages

Friday, November 11, 2011

Bush, Blair kena bicara di KL

Oleh Badrul Kamal Zakaria

2011/11/11

KLWCC dakwa bekas pemimpin AS, Britain rancang perang Afghanistan, Iraq

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W Bush dan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair akan dibicarakan di Kuala Lumpur atas tuduhan melakukan jenayah perang terhadap Afghanistan dan Iraq, walaupun tanpa kehadiran mereka.

Kedua-dua mereka dituduh oleh Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCC) selepas dua tahun menjalankan siasatan terhadap aduan yang dibuat mangsa perang di Iraq pada 2009. Ini kali pertama kedua-dua bekas ketua negara itu dituduh bagi jenayah perang mengikut proses undang-undang.
Turut didakwa bersama mereka ialah beberapa tokoh dalam pentadbiran Bush seperti bekas Naib Presiden AS, Dick Cheney; bekas Setiausaha Pertahanan AS, Donald Rumsfeld; bekas Peguam Negara AS, Alberto Gonzales; bekas Ketua Staf Pentadbiran Presiden Bush, David Addington; bekas Penasihat Jabatan Pertahanan AS, William Haynes; bekas Hakim Mahkamah Rayuan AS, Jay Bybee dan profesor undang-undang, John Yoo.
Setiausaha Agung Kuala Lumpur Foundation to Crimanalise War, Datuk Dr Yaacob Hussain Merican, berkata perbicaraan akan diadakan di Yayasan Al-Bukhary di Jalan Perdana di sini mulai 19 hingga 22 November ini.

“Suruhanjaya selepas menerima aduan daripada mangsa perang di Iraq pada 2009 telah melakukan siasatan rapi dan menyeluruh selama dua tahun dan memutuskan untuk membuat pendakwaan jenayah perang terhadap Bush, Blair dan sekutu mereka,” katanya pada sidang media di Balai Berita, semalam.

Sidang media itu turut dihadiri Pengerusi Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF), Tan Sri Norian Mai; Pengarah Eksekutif PGPF, Dr Zulaiha Ismail dan pemegang amanah yayasan itu, Tan Sri Dr Samsudin Hitam.

Serangan dan penaklukan Iraq pada 2003 mengakibatkan lebih 1.4 juta rakyat terbunuh, selain ramai lagi yang disiksa dan didera.
Dr Yaacob berkata, bagi tuduhan pertama Bush dan Blair dituduh melakukan jenayah terhadap keamanan, di mana kedua-dua mereka didakwa bertanggungjawab untuk merancang, menyerang dan menakluk sebuah negara berdaulat Iraq pada 19 Mac 2003 yang turut menyalahi undang-undang antarabangsa dan mencabuli piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagi tuduhan kedua, Bush dituduh bersama lapan pegawai kanannya melakukan penyiksaan dan jenayah perang, iaitu dengan mengambil bahagian, mengeluarkan perintah dan arahan eksekutif untuk mengecualikan semua konvensyen dan undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Terhadap Penyeksaan 1984, Konvensyen Geneva III 1949, Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan Piagam PBB berhubung pembabitan mereka dalam perang di Afghanistan pada 2001 dan Iraq pada 2003.

Bush juga didakwa melakukan perbuatan penyeksaan, layanan kejam, menjatuhkan maruah dan tidak berperikemanusiaan terhadap semua mangsa, serta melanggar semua konvensyen dan undang-undang antarabangsa.

Dr Yaacob berkata, tribunal itu akan dibarisi beberapa pakar perundangan dalam dan luar negara supaya proses perbicaraan berlangsung dengan lancar dan adil.

Tribunal tujuh anggota itu akan diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman, manakala anggotanya ialah bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zakaria Yatim; peguam dan pakar undang-undang antarabangsa dan bekas peguam persekutuan di Jabatan Peguam Negara, Prof Salleh Buang.

Pengarang buku politik, Alfred Lambremont Webre; pakar undang-undang perlembagaan, pentadbiran dan antarabangsa, Prof Niloufer Bhagwat; pensyarah undang-undang, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi dan peguam, Tunku Sofiah Jewa.

Pendakwaan akan dilakukan Pensyarah Undang-Undang, Prof Gurdial S Nijar dengan dibantu pensyarah undang-undang antarabangsa dari AS, Prof Francis Boyle.

“Sekiranya terbukti bersalah, nama semua tertuduh akan dimasukkan ke dalam senarai daftar Suruhanjaya Penjenayah Perang dan akan disiarkan ke seluruh dunia,” katanya.
Berita Harian Online | Bush, Blair kena bicara di KL:

'via Blog this'

2 comments:

Anonymous said...

macam mana nak bicarakan Bush n Blair kerna ANWAR pun tak mendapat pembicaraan secara adil dan masyarakat antarabangsa akan mentertawakan MALAYSIA

mamat gerek said...

ye ke? anwar tidak dibicara dengan adil? mengapa dia tak mahu bela diri sendiri dan buat ucapan politik dalam kandang tertuduh?

hmmm... maklumat dari mana anon dapat tu.. dari sumber anwar sendiri? percayalah, anda antara yang telah di mind control...