Pages

Friday, November 11, 2011

Lima maut dalam gempa bumi di Ankara


PASUKAN penyelamat mencari mangsa yang terselamat di sebalik runtuhan bangunan di Van, Turki semalam.


ANKARA – Gempa bumi berukuran 5.6 magnitud mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang di timur Turki semalam, kurang tiga minggu selepas gempa bumi kuat mengorbankan lebih 600 orang di kawasan yang sama, jelas kenyataan rasmi kerajaan.

“Dua puluh orang ditemui masih hidup dan lima mati,” kata Timbalan Perdana Menteri Turki, Besir Atalay selepas melawat tempat kejadian.

Lebih ramai mangsa dipercayai terperangkap di bawah runtuhan dan angkanya masih belum dapat dikenal pasti.

Gempa bumi itu berlaku pada waktu petang dengan berpusat di daerah Edremit, kira-kira 15 kilometer dari wilayah Van.

Sebanyak 25 bangunan termasuk dua hotel dan 22 bangunan kosong runtuh, kata Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu.

Ini termasuklah sebuah hotel enam tingkat yang dihuni oleh wartawan dan anggota pasukan Bulan Sabit Merah Turki. Jumlah penghuni hotel bagaimanapun tidak diketahui.

Gempa itu nyata memberikan kesan panik terutama kepada penduduk baharu. Dua minggu lalu, Turki digegarkan dengan gempa bumi kuat berukuran 7.2 magnitud, sehingga mengorbankan lebih 600 orang dan 4,150 lagi cedera.

Dalam kejadian itu, Turki menerima bantuan daripada banyak negara termasuk Israel dan Armenia walaupun kedua-dua negara itu mempunyai hubungan dingin.

Turki kerap mengalami gegaran berikutan kedudukannya di beberapa garisan bahaya.

Pada 1999, dua gempa kuat berlaku di kawasan yang berpadatan tinggi dan kawasan perindustrian di barat laut Turki yang mengorbankan 20,000 orang.- AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

No comments: