Pages

Saturday, November 5, 2011

556 cawangan bank di Thailand tutup




2011/11/05

PENDUDUK berdiri di dalam air banjir ketika menunggu ketibaan Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra di daerah Don Muang, kelmarin.
PENDUDUK berdiri di dalam air banjir ketika menunggu ketibaan Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra di daerah Don Muang, kelmarin.
BANGKOK: Sebanyak 13 bank komersial dan sebuah firma kewangan di Thailand melaporkan bahawa mereka kini menutup sementara sejumlah 556 cawangan berikutan banjir yang melanda beberapa beberapa wilayah di negara itu, kata Bank of Thailand semalam yang dipetik akhbar The Nation.

Sejumlah 267 cawangan di Bangkok, 152 di Pathum Thani, 69 di Nonthaburi, 28 di Ayutthaya, 26 di Nakhon Pathom, tujuh di Nakhon Sawan dan satu di Chai Nat manakala selebihnya adalah di merata-rata bandar lain yang dilanda banjir, kata bank pusat berkenaan.
Siam Commercial Bank paling banyak menutup cawangannya iaitu 118 diikuti dengan Krung Thai (84) dan Kasikornbank (77).
Perkhidmatan di 4,943 cawangan mesin ATM yang dikendalikan bank terbabit turut digantung.

Sejumlah 1,679 di Bangkok, 1,479 di Pathum Thani, 736 di Nonthaburi, 635 di Ayutthaya, 163 di Nakhon Pathom, 57 di Nakhon Sawan, 55 di Samut Sakhon, 47 di Samut Prakan dan selebihnya merata-rata bandar lain yang dilanda banjir.

Bank pusat berkenaan pada Khamis melaporkan bahawa sebanyak 482 cawangan bank ditutup.

Sementara itu akhbar yang sama melaporkan bahawa Sultan Brunei, Sultan Hassan al-Bolkiah turut memberikan sumbangan kepada mangsa banjir di Thailand sebanyak AS$100,000 atau Bt 3 juta (RM311,599).
Duta Brunei ke Bangkok mewakili ketua negara berkenaan untuk memberikan sumbangan wang berkenaan kepada Menteri Luar Thailand, Surapong Towichukchaikul.

The Bangkok Post melaporkan banjir terburuk di Thailand dalam tempoh setengah abad itu, mengancam beberapa stesen keretapi bawah tanah dan memaksa penutupan sebuah pusat beli belah terbesar di negara itu semalam.

Kira-kira 20 peratus daripada ibu negara berkenaan kini ditenggelami banjir yang turut dicemari dengan sampah sarap, bangkai haiwan dan sisa buangan industri sekali gus menimbulkan kebimbangan penyebaran wabak penyakit berjangkit di kawasan metropolitan yang didiami 12 juta penduduk itu.

Air dilaporkan kini hanya beberapa kilometer dari kawasan perniagaan dan tarikan pelancongan walaupun kerajaan memberi jaminan bahawa tengah Bangkok akan terselamat.

Banjir kini tiba di persimpangan Lat Phrao di utara bandaraya berkenaan awal semalam memaksa penutupan pusat beli belah Central Plaza.

Seorang jurucakap Bangkok metro berkata bahawa tiga stesen keretapi bawah tanah, Lat Phrao, Phahon Yothin dan Chatucak Park berisko dan mungkin ditutup jika air meningkat kepada 40 sentimeter di luar.

“Kami menghantar pegawai di semua stesen berisiko untuk menilai keadaan setiap jam,” katanya.

Di kawasan Pasar Minggu Chatuchak berhampiran, yang juga sebuah tarikan pelancong yang popular, ia bakal dibuka semula hujung minggu ini atas permintaan peniaga tetapi pihak berkuasa memberi amaran bahawa kawasan terbabit juga berkemungkinan dilanda banjir.

Banjir yang berpunca dari hujan lebat luar biasa dan kegagalan untuk melepaskan air dari empangan awal monsun lalu membunuh 442 penduduk dan memusnahkan kediaman serta kehidupan berjuta penduduk di seluruh negara.

Pihak berkuasa mengeluarkan perintah berpindah ke lapan daerah di Bangkok daripada sejumlah 50 di bandaraya terbabit dan kawasan tertentu di empat tempat lain.

Sebanyak 12 daerah yang secara keseluruhan mempunyai 1.7 juta penduduk jauh daripada memiliki penempatan secukupnya yang disediakan kerajaan.

Kebanyakan mereka memilih untuk tinggal di rumah sendiri walaupun berisiko dengan kejadian terkena kejutan elektrik, penyakit dan kekurangan makanan serta air minuman selain menyukarkan usaha bantuan.

Banjir turut menenggelamkan lapangan terbang kedua Bangkok, Don Mueang, yang biasanya membabitkan penerbangan domestik tetapi lapangan terbang utama Suvarnabhumi masih lagi beroperasi seperti biasa.

Lapangan terbang utama itu dikelilingi tambak banjir setinggi 3.5 meter yang dipantau sepanjang masa, kata pihak berkuasa kepada media.

Pengurus besar Suvarnabhumi, Somchai Sawasdeepon berkata bahawa lapangan terbang terbabit akan menggunakan pelan kecemasan jika air mencecah setinggi 2.5 meter.

“Saya percaya kami boleh pindahkan semua penumpang dan pesawat dalam masa 24 jam,” katanya. “Kini lapangan terbang itu beroperasi secara biasa. Tiada tanda yang membimbangkan kami. Paras air juga tidak membimbangkan kami.” – Agensi
Berita Harian Online | 556 cawangan bank di Thailand tutup:

'via Blog this'

No comments: