Pages

Thursday, August 25, 2011

Polis tahan empat lelaki, rampas cip bernilai RM200,000



25/08/2011 5:15pm

BALIK PULAU 25 Ogos — Polis menahan empat lelaki dan merampas 1,305 cip mikropemproses bernilai hampir RM200,000 yang dilaporkan hilang, dalam satu serbuan di Sungai Pinang di sini Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt. Mohd. Hatta Mohd. Zain berkata kesemua suspek yang berusia antara 18 hingga 37 tahun itu ditahan di sebuah rumah didiami seorang daripada mereka.
"Seorang penyelia sebuah syarikat penghantaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAP) membuat laporan polis selepas sebuah kotak berisi 1,320 cip mikropemproses hilang.
"Penyelia berkenaan menyedari kehilangan cip berkenaan selepas mendapati sebuah kotak yang diterima berisi batu–bata,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan bukaan di bawah kotak yang dihantar dari Shanghai, China melalui sebuah syarikat penghantaran di LTAP.
Mohd. Hatta berkata, siasatan awal mendapati mereka bertindak menukar kotak berisi cip berkenaan dengan batu-bata bagi mengelak dikesan.

"Tiga daripada mereka yang merupakan pekerja sebuah syarikat penghantaran manakala seorang lagi bekerja sebagai kerani di syarikat lain kini direman sehingga esok,” katanya.
Katanya, kes itu disiasat menurut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. — Bernama

No comments: