Pages

Thursday, August 25, 2011

Gaddafi berundur




Beberapa orang anggota kumpulan pemberontak mengangkat rakan mereka yang cedera dalam pertempuran di hadapan kompleks kediaman Gaddafi di Bab al Aziziya, Tripoli, kelmarin. - REUTERS


TRIPOLI 24 Ogos - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berundur dari kubu kuatnya di ibu negara ini dan berikrar akan berjuang habis-habisan selepas pemberontak menawan kompleks kediamannya di Bab al-Aziziya di Tripoli, semalam.
Pemberontak telah menggeledah kediaman rasmi Gaddafi di Bab al-Aziziya di sini dan merampas senjata serta memusnahkan lambang kerajaan rejim itu.
Gaddafi berkata, pengundurannya dari kubu kuatnya itu merupakan satu tindakan taktikal selepas ia diserang 64 kali oleh tentera udara Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
''Saya akan mati syahid atau saya berjaya dalam perjuangan itu,'' katanya kepada sebuah stesen radio di Tripoli, hari ini.
Bagaimanapun, kedudukan pemimpin Libya itu selepas meninggalkan kubu kuatnya masih menjadi misteri.
Jurucakap Gaddafi, Moussa Ibrahim berkata, pemimpin veteran itu bersedia menentang pemberontak untuk satu jangka masa yang panjang.
''Kami akan jadikan Libya sebagai satu kawasan selepas gempa bumi yang penuh dengan lava dan kebakaran.
''Pemberontak tidak akan aman jika mereka meneruskan rancangan untuk memindahkan ibu pejabat mereka dari Benghazi ke Tripoli,'' katanya.
Dalam pada itu, pelbagai pendapat timbul berhubung kedudukan Gaddafi dengan wakil pemberontak, Kolonel Ahmed Bani memberitahu Al-Arabiya TV, pemberontak percaya pemimpin Libya itu berada di satu daripada tempat persembunyiannya di Tripoli.
''Ia akan memakan masa yang panjang untuk menemuinya,'' ujarnya. - REUTERS, utusan

No comments: