Pages

Friday, August 5, 2011

Keturunan hamba abdi anggap Ramadan istimewa



Kaum Muslimah berketurunan Afrika-Amerika mengerjakan solat di sebuah masjid di Amerika Syarikat. - Agensi


WASHINGTON 4 Ogos - Lebih separuh daripada satu juta penganut Islam di Amerika Syarikat (AS) berketurunan Afrika yang kebanyakannya berasal daripada hamba abdi menyifatkan Ramadan sebagai bulan yang teristimewa kepada mereka.
Bagi mereka, bulan Ramadan mempunyai kaitan antara pengalaman nenek moyang mereka memperjuangkan kebebasan dan kesamarataan dan ajaran Islam yang mengutamakan kebebasan rohaniah.
Lebih 500 penduduk Islam Afrika-Amerika mengerjakan solat di Masjid Muhammad di Washington, kediaman komuniti penganut Islam Afrika-Amerika tertua di AS.
Talib Shareef, pesara Tentera Udara AS, adalah imam baru di masjid itu dan menurut beliau, pengalaman penganut Islam berkulit hitam di AS adalah berbeza dengan umat Islam di tempat lain.
"Kebanyakan golongan Afrika-Amerika di sini mempunyai pengalaman memasuki gereja. Islam di AS sedikit berbeza dengan di negara lain kerana di sini kebanyakan penduduk tidak mengetahui mengenai Islam dan kami perlu menjelaskan banyak perkara kepada mereka.
Jocelyn Cole, 24, membesar dengan menjalani kehidupan seimbang antara Kristian dan Islam. Ibunya adalah penganut Kristian Seventh Day Adventist, manakala bapanya telah memeluk Islam sebelum dia dilahirkan.
"Semasa kecil saya bersama dengan bapa saya ketika bulan Ramadan dan kami akan ke pasar membeli kurma untuk berbuka puasa," ujarnya.
Bagi Ibrahim Mumin yang berketurunan hamba, Ramadan adalah peluang besar untuk berdakwah kepada bukan Islam, tetapi menurutnya, selepas 10 tahun serangan 9/11, kebanyakan rakyat AS masih takut dan jahil tentang Islam.
"Saya bekerja sebagai penyambut tetamu dan mereka sering bertanya tentang negara asal saya kerana kebanyakan rakyat AS mempunyai tanggapan penganut Islam berasal dari negara lain," katanya.
Menurut Imam Shareef, terdapat pertalian kuat antara sejarah perjuangan kebebasan dan kesamarataan rakyat AS keturunan Afrika selepas penamatan sistem perhambaan pada 1860-an dengan ajaran Islam menuntut kebebasan rohaniah.
"Kami berasal daripada hamba abdi dan berhadapan situasi menuntut kebebasan, sama seperti ajaran Islam yang mengutamakan kebebasan, keadilan dan kesamarataan.
"Itu adalah yang kami mahukan dan dimahukan setiap manusia. Bulan Ramadan adalah masa untuk kami mengingatinya," kata Imam Shareef. - AGENSIutusan

No comments: