Pages

Thursday, July 7, 2011

'Tiada jawatan untuk Thaksin'



Yingluck
Yingluck

PM baru Thailand nafi spekulasi beri tugas rasmi kepada abang

BANGKOK: Pemimpin baru Thailand, Yingluck Shinawatra semalam menolak spekulasi yang semakin meluas kononnya abang beliau, Thaksin yang digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006, akan diberikan satu tugas rasmi di bawah penggal pemerintahan beliau.
Yingluck yang mengetuai kempen pembangkang Parti Puea Thai dengan mengambil alih tempat abangnya, memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya Ahad lalu dan membentuk lima parti pakatan.
Bagaimanapun beliau menolak laporan media bahawa Thaksin yang kini tinggal dalam buangan di Dubai untuk mengelak hukuman penjara kerana rasuah, mungkin menjadi wakil perdagangan kerajaan bagi menggalakkan eksport Thailand itu di luar negara.

“Spekulasi itu tidak benar, tidak ada jawatan yang akan ditawarkan kepada beliau,” kata Yingluck kepada pemberita sebaik tiba di ibu pejabat partinya di Bangkok bagi menghadiri satu mesyuarat bersama penasihat ekonomi.

“Tidak akan ada jawatan untuk Thaksin. Beliau hanya memberikan sokongan moral dan nasihat. Beliau sihat di luar negara dan tidak berniat untuk mendapatkan sebarang kedudukan dalam politik. Beliau hanya mahu melihat pemulihan semula di seluruh negara,” katanya.

Kepulangan Thaksin dikatakan akan memberi risiko kemarahan kepada golongan elit dalam tentera, istana dan birokrasi dan boleh mencetuskan krisis lebih teruk selepas bantahan dan keganasan selama beberapa tahun.
Selepas kemenangan adiknya, Thaksin berkata, beliau tidak bercadang kembali sebagai Perdana Menteri manakala keinginan balik ke Thailand bukan keutamaan.
Beliau bagaimanapun meluahkan harapan untuk menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya yang diadakan Disember ini. – AFP
Berita Harian Online | 'Tiada jawatan untuk Thaksin'

No comments: