Pages

Thursday, July 7, 2011

Pekerja hotel wanita saman New York Post



Dominique Strauss-Kahn ditemani isterinya, Anne Sinclair meninggalkan apartmen mereka di New York pada 2 Julai lalu. - AFP


NEW YORK 6 Julai - Pekerja hotel wanita yang menuduh bekas Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) Dominique Strauss-Kahn cuba merogolnya, menyaman akhbar New York Post kerana melabelnya sebagai pelacur.

"Kami telah memfailkan saman kerana kenyataan akhbar tabloid itu yang menyebut mangsa sebagai pelacur," kata peguam wanita itu, Kenneth Thompson kepada AFP menerusi e-mel.

New York Post yang memetik satu sumber rapat dengan penyiasat pasukan pembelaan mendakwa, mangsa yang berasal dari Guinea sering menawarkan khidmat seks di Hotel Sofitel, Manhattan bagi mendapatkan wang.

Akhbar tabloid harian itu hujung minggu lalu melaporkan, Kahn dan mangsa telah mengadakan hubungan seks di sebuah suit mewah pada 14 Mei lalu, namun bekas Pengarah Urusan IMF itu tidak memberikan sejumlah wang seperti yang dijanjikan.

Menurut akhbar tersebut, wanita itu turut mengadakan hubungan seks dengan beberapa lelaki lain selepas ahli politik Perancis itu ditahan.

Ketika dakwaan terhadap Kahn, 62, masih kekal, kes tersebut hampir digugurkan selepas pendakwa raya mengakui siasatan menunjukkan pengadu didapati menipu jemaah juri.

Dalam sepucuk surat kepada peguam bela, peguam daerah Manhattan Cyrus Vance berkata, wanita itu memberi maklumat yang salah tentang kehidupannya termasuk pernah dirogol beramai-ramai, satu dakwaan yang kemudian dinafikan supaya dia dipertimbangkan dalam permohonan suaka politik di Amerika Syarikat (AS).

Pasukan pembelaan Kahn menafikan dakwaan New York Post yang menyatakan ahli politik itu membayar pekerja hotel wanita tersebut bagi mendapatkan khidmat seks.

"Tiada sebarang pertelingkahan antara dua pihak itu kerana perbincangan mengenai wang tidak pernah wujud," kata pasukan itu yang diketuai peguam Benjamin Brafman dan William Taylor dalam satu kenyataan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: