Pages

Thursday, July 7, 2011

Dua perakam video digital diganggu - Saksi

KUALA LUMPUR – Saksi ketiga inkues kematian Ahmad Sarbani Mohamed memberitahu Mahkamah Koroner di sini semalam terdapat gangguan pada dua daripada tiga unit kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa kejadian.

Asisten Supritendan Fauziah Che Mat yang bertugas sebagai juruanalisis di bahagian audio dan video makmal forensik Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras berkata, terdapat tiga perakam video digital (DVR) yang dianalisis beliau tetapi hanya satu yang mempunyai rakaman.

Menurut Fauziah, tiga DVR tersebut merupakan alat perakam di tiga tempat berbeza iaitu DVR 1 dan 2 meliputi kamera CCTV di tangga, lif dan bahagian dalam bangunan manakala DVR 3 meliputi CCTV kawasan luar bangunan SPRM.

“Saya ada menerima tiga unit DVR daripada pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Kamarul Rizal dan saya diarahkan untuk menganalisis, mencetak gambar si mati dan membuat salinan video dalam bentuk cakera padat.

“Hasil analisis yang diperoleh daripada ketiga-tiga DVR ini mendapati DVR 1 dan DVR 2 pada tarikh 6 April 2011 tidak merakamkan apa-apa dari pukul 8 hingga 11 pagi,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Nor Amalina Ismail.

Fauziah berkata, dia memperoleh rakaman imej Ahmad Sarbani yang dirakamkan pada pukul 8.30 pagi melalui DVR 3.

“DVR 1 dan 2 tidak berfungsi secara normal pada tarikh itu (6 April). Terdapat dua gangguan terhadap kedua-dua DVR tersebut sehingga menyebabkan rakaman terhenti,” katanya lagi.

Kosmo! Online - Negara

No comments: