Pages

Thursday, July 7, 2011

Bayi Perempuan Dijumpai Di Taman Permainan

TAWAU: Seorang bayi perempuan dipercayai baru berumur sehari dan masih bertali pusat, dijumpai di taman permainan Taman Gaya, Jalan Kuhara, dekat sini Selasa lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Supt Keong Ho Eng berkata bayi itu yang dibungkus menggunakan plastik merah, dijumpai seorang budak lelaki yang mendengar tangisan bayi itu ketika dia sedang bermain di taman berkenaan kira-kira jam 5.10 petang.

Keong berkata sepasukan anggota polis terus dihantar ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan tentang penemuan bayi berkenaan dan segera menghantarnya ke Hospital Tawau untuk diberi rawatan.

"Bayi itu masih di Hospital Tawau dan dilaporkan stabil dan sihat. Kita juga sudah memaklumkan perkara ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sekiranya tiada tuntutan, bayi akan diserahkan kepada JKM Kota Kinabalu," katanya.

Keong berkata polis mengesyaki bayi berkenaan dibawa dari luar taman itu sebelum ditinggalkan di situ dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana meninggalkan kanak-kanak di bawah 12 tahun dengan niat hendak membuangnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan diminta supaya segera menghubungi polis untuk tindakan lanjut. -BERNAMA

mStar Online
: Bayi Perempuan Dijumpai Di Taman Permainan

No comments: