Pages

Sunday, July 17, 2011

Polis terus buru dalang serangan bom Mumbai

SEKUMPULAN aktivis Hindu membakar patung-patung suspek pengganas dalam tunjuk perasaan di New Delhi semalam untuk membantah serangan bom tiga serangkai di Mumbai pada Rabu lepas.


MUMBAI, India - Angka kematian akibat serangan bom di daerah perniagaan di sini pada minggu ini meningkat kepada 19 orang ketika polis terus memeriksa bahan bukti yang dikumpulkan dari tiga kawasan letupan berkenaan.

Seorang pegawai polis berkata, berdasarkan bahan bukti yang dikumpulkan, beberapa pasukan penyiasat telah dikerahkan ke bandar raya Bangalore, Hyderabad, Ranchi dan Kolkata, untuk mengesan kumpulan pengganas yang mungkin mempunyai kaitan dengan pengeboman itu.

Angka kematian dalam serangan berkenaan meningkat kepada 19 orang apabila dua lelaki yang parah dalam serangan tersebut meninggal dunia.

Seorang pegawai polis lain memberitahu, lebih 100 orang masih dirawat di beberapa hospital di sini akibat kecederaan dialami mereka dalam serangan bom pada Rabu lepas itu.

Setakat ini, tiada kumpulan pengganas mengaku bertanggung jawab melakukan serangan kejam tersebut manakala polis juga belum menamakan mana-mana suspek.

"Semua aspek masih disiasat. Kami menubuhkan beberapa pasukan penyiasat termasuk untuk menyiasat pembabitan kumpulan penjenayah di sini dalam serangan berkenaan," kata pegawai perisikan, Prithviraj Chavan.

Menurutnya, pihak berkuasa India bagaimanapun menyatakan serangan itu memperlihatkan tanda-tanda ia dilakukan oleh kumpulan Mujahideen India yang dikaitkan dengan kumpulan militan Pakistan, Lashkar-e-Taiba.

Lashkar-e-Taiba mengaku mendalangi beberapa serangan bom dengan menggunakan bahan letupan serupa sebelum ini.

Siri letupan berkenaan merupakan serangan paling dahsyat pernah berlaku di bandar raya ini sejak 2008 apabila 166 orang terbunuh dalam serangan pengganas selama tiga hari. - AP

Kosmo! Online - Dunia

No comments: