Pages

Sunday, July 17, 2011

Ribut bulan madu raja sehari Monaco




WITTSTOCK menyapu air mata selepas berkahwin dengan Putera Albert.
WITTSTOCK menyapu air mata selepas berkahwin dengan Putera Albert.

Masalah peribadi terus hantui Putera Albert, Puteri Charlene

JOHANNESBURG: Putera Albert dari Monaco dan isterinya, Charlene Wittstock menghabiskan beberapa hari pertama perkahwinan tidur di hotel berasingan sejauh 16 kilometer.
Pengesahan Istana Monaco itu meneruskan drama bulan madu yang jelas melihat pasangan pengantin baru itu diheret dalam permasalahan diraja bukannya menikmati kebahagiaan selepas kahwin.
Dalam rentetan terbaru di sebalik perkahwinan gilang gemilang mereka, selepas tiba di destinasi bulan madu di Afrika Selatan, putera berusia 53 tahun itu segera menginap di Hotel Hilton Durban.

Pengantin perempuan, Wittstock, 33, sebaliknya berpindah ke sebuah suite hotel lain kira-kira 16 kilometer dari situ di bandar tepi laut Umhlanga Rocks.

“Penjelasan diberi ialah putera itu mahu mengelak kesesakan untuk menghadiri mesyuarat awal pagi. Beliau meninggalkan Charlene begitu jauh,” kata Peter Allen dari akhbar The Daily Mail kepada ABC News.

Seorang pegawai istana Monaco mengesahkan urusan tidur luar biasa pasangan itu.
“Putera itu menghadiri mesyuarat di Hilton bersama anggota Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dari 5 hingga 9 Julai. Jadi, adalah lebih baik tidur di sana,” kata orang kanan istana Monaco kepada Daily News.

“Anda tentu bertanya, mengapa Charlene tidak tinggal di Durban? Ini satu misteri,” kata Allen kepada ABC News.

Masa berjauhan itu mungkin memberi pasangan diraja terbabit memikirkan masa depan mereka selepas berkahwin hanya beberapa minggu lalu dalam upacara tiga hari yang menelan belanja AS$55 juta (RM165.08 juta).

Sejak pasangan itu meninggalkan Monaco selepas perkahwinan 2 Julai lalu, menuju ke negara asal Wittstock iaitu Afrika Selatan, bulan madu mereka dibayangi berita akhbar bahawa Wittstock menuntut ujian untuk memastikan sama ada suaminya itu pernah curang sepanjang lima tahun hubungan mereka.

Albert sudah mempunyai dua anak luar nikah dan khabar angin bertiup kencang ada anak luar nikah ketiga yang disyaki banyak pihak menjadi punca terhadap laporan Wittstock cuba mengelak daripada berkahwin.

Beberapa hari sebelum perkahwinan dongeng mereka yang melihat Monaco menjadi tumpuan, laporan berita muncul bahawa Wittstock, seorang bekas perenang Olimpik dari Afrika Selatan, melarikan diri ke lapangan terbang, sesetengah laporan mengatakan sebanyak tiga kali dengan tiket sehala ke Afrika Selatan.

Pasangan itu juga di bawah perhatian media Perancis yang mempersoalkan sama ada perkahwinan mereka adalah pura-pura, wujud perjanjian rahsia membenarkan Wittstock menikmati gaya hidup mewah diraja dan menghasilkan seorang waris sah takhta Albert. – Agensi
Berita Harian Online | Ribut bulan madu raja sehari Monaco

No comments: