Pages

Sunday, July 17, 2011

Lihat isteri, anak tidak bergerak


Foto
Dalila Hashim (kiri) dan Che Najwan Haniff


Foto
KERETA pacuan empat roda yang dihempap lori dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Taman Selasih, Kulim semalam.
Dua wanita hamil antara 3 maut nahas

KULIM: Tiga terbunuh termasuk dua wanita sarat mengandung, manakala dua lagi parah dalam kemalangan berasingan di sini dan Seremban dalam tempoh 24 jam semalam.
Kejadian di sini berlaku jam 12.20 tengah hari mengakibatkan Sharlini Yusof, 26, yang hamil lapan bulan maut manakala suami, Nor Husaini Hamdan, 26, dan bapa mentuanya, Hamdan Abdullah, 61, parah selepas pacuan empat roda dinaiki mereka dihempap lori pasir.
Kemalangan berlaku apabila lori pasir terbabit terbabas dan terbalik di persimpangan lampu isyarat Taman Selasih ketika pacuan empat roda Isuzu D-Max dipandu Nor Husaini sedang berhenti menunggu lampu hijau. Sharlini mati di tempat kejadian manakala suaminya dan Hamdan yang duduk di depan cedera dan dirawat di Hospital Kulim (HK).

Jurucakap polis berkata, lori yang datang dari arah Air Merah mahu membelok ke kiri di persimpangan lampu isyarat itu apabila hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik dan menghempap kenderaan mangsa yang dalam perjalanan dari arah Taman Selasih.

“Mayat mangsa yang tersepit dalam kenderaan remuk dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Pemandu lori berusia 65 tahun ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan maut,” katanya.

Dalam kejadian berasingan di Kilometer 252.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Seremban, Negeri Sembilan, kira-kira jam 5.45 petang kelmarin, Dalila Hashim, 40, yang hamil lima bulan turut maut bersama bayinya berusia setahun, Che Najwan Haniff selepas lori dipandu suaminya, Che Rusdi Ahmad, 37, terbabas.
Che Rusdi yang hanya cedera ringan, berkata dia dalam perjalanan ke Serdang, Selangor selepas menghantar barang di Melaka apabila sebuah kereta yang cuba memotong kenderaan mereka merempuh bahagian depan sebelah kanan lori dipandunya menyebabkan kenderaan mereka terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik dan berpusing beberapa kali.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan Dalila dan Che Najwan yang dipangku wanita terbabit ketika kejadian berkenaan, tercampak keluar. Jenazah kedua-dua mangsa dikebumikan di kampung Dalila, Kampung Kenangan GSA Gemeh, Jementah, Segamat, Johor.

“Selepas lori berhenti berpusing, saya keluar sambil menangis mencari anak serta isteri sebelum menemui mereka terbaring tidak bergerak beberapa meter dari kenderaan kami,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Tuanku Ja'afar Seremban, di sini semalam.

Sementara itu, anak kedua Dalila bersama suami pertama, Nur Nabila Huda Mohd Amir, 19, berkata arwah ibunya beria-ia mengajaknya serta tiga lagi adik beradik menyambut Aidilfitri bersama di Segamat selepas empat tahun tidak berbuat demikian.

Jurucakap polis berkata, pemandu kereta berusia 29 tahun yang dipercayai melanggar lori terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai dan berbahaya hingga menyebabkan kematian.
Berita Harian Online | Lihat isteri, anak tidak bergerak

No comments: