Pages

Sunday, July 17, 2011

Amerika Syarikat guna sistem biometrik di Afghanistan, Iraq

WASHINGTON: Apabila militan Taliban menggali terowong di bawah penjara terbesar di selatan Afghanistan musim bunga lalu, pihak berkuasa dianggap menghadapi masalah untuk menangkap 475 banduan yang lari.

Tetapi, ia menjadi mudah kerana sebulan sebelum kejadian April lalu itu, pegawai Afghanistan menggunakan teknologi Amerika Syarikat, merakam imbasan mata, cap jari dan imej wajah setiap militan dalam tahanan di Penjara Sarposa, pusat tahanan terbesar di Afghanistan.
Dalam tempoh beberapa hari selepas itu, kira-kira 35 banduan ditahan semula di pusat pemeriksaan dalaman dan sempadan. Identiti mereka disahkan mengikut fail biometrik.
Seorang banduan ditahan semasa pemeriksaan trafik harian dua kilometer dari kampungnya. Seorang lagi ditangkap di stesen pemeriksaan tempatan ketika cuba masuk ke dalam pasukan keselamatan Afghanistan.

Secara berperingkat, tentera Amerika dan pihak berkuasa tempatan mengambil langkah merekodkan maklumat identiti biometrik ramai rakyat Afghanistan dan Iraq, terutama lelaki dalam lingkungan yang sesuai untuk keluar berperang.

Maklumat mengenai lebih 1.5 juta rakyat Afghanistan sudah dimasukkan dalam pangkalan data yang diuruskan Amerika, NATO dan pasukan keselamatan tempatan.
Seorang setiap 20 penduduk Afghanistan dianggarkan berusia lingkungan 15 hingga 64 tahun, umur sesuai untuk keluar berperang.
“Anda boleh beri kad pengenalan palsu. Anda boleh cukur janggut tetapi anda tidak boleh menukar biometrik,“ kata Sarjan Mejar Robert Haemmerle daripada Gabungan Antara Agensi Bersama Pasukan Keselamatan 435.

Di Iraq, lebih ramai penduduk dengan peratusan yang tinggi sudah didaftarkan. Data mengenai 2.2 juta rakyat Iraq sudah dikumpulkan atau satu daripada 14 warga negara dan ia bersamaan dengan satu daripada empat lelaki dalam lingkungan umur yang boleh keluar berperang.

Untuk mendapatkan maklumat, tentera dan pegawai polis merakam imbasan mata, gambar muka dan cap jari. Di Iraq dan Afghanistan semua tahanan dan banduan perlu menjalani penelitian seumpama itu.

Perkara yang sama terpaksa dilalui penduduk tempatan yang memohon kerja dengan kerajaan terutama kerja dengan pasukan keselamatan, polis dan di pusat penempatan Amerika.

Warga di Afghanistan atau Iraq terpaksa berada di kampung mereka tanpa keluar dan tidak pernah mendapatkan khidmat kerajaan bagi mengelakkan pemeriksaan sistem biometrik.

Perbezaannya dengan cap jari tradisional ialah kerajaan boleh mengimbas jutaan fail digital dalam hanya beberapa saat, walaupun di pusat pemeriksaan pedalaman menggunakan peralatan mudah alih yang diagihkan kepada anggota pasukan keselamatan.

Afghanistan, secara amnya, tidak mempunyai peraturan untuk pengeluaran sijil beranak, lesen memandu atau nombor keselamatan sosial di mana pasaran gelap dokumen identiti nasional berleluasa.

Sesetengah warga Afghanistan bimbang mengenai masa depan perkembangan pangkalan data boleh disalah gunakan sebagai senjata tindak balas etnik, puak atau politik.

Malah, pegawai Afghanistan yang menyokong program itu mahu mengendalikannya sendiri dan tidak mahu Amerika menguruskannya. – Agensi
Berita Harian Online | Amerika Syarikat guna sistem biometrik di Afghanistan, Iraq

No comments: