Pages

Tuesday, July 5, 2011

Anak, bekas suami jadi saksi, zink alas mayat barang kes

SHAH ALAM 4 Julai - Seramai 76 saksi termasuk dua anak perempuan Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik itu yang ditetapkan berjalan tiga bulan di Mahkamah Tinggi di sini.

Dua anak Sosilawati yang akan memberi keterangan ialah Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, dan Erni Erinawati Sofea, 22.

Turut disenaraikan sebagai saksi ialah isteri kepada peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, Sabrina Adnan; kakak dan anak saudara pemandu, Kamaruddin Shamsudin; Zaidah serta Khairul Izwan Ismail; dan isteri pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, Suzana Radin Pangit.

Saksi-saksi lain terdiri daripada pakar-pakar forensik dan ahli-ahli pasukan penyelam yang menemui serpihan-serpihan tulang serta dua orang saksi yang melihat api yang marak di tempat kejadian dari rumah mereka.

Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam ucapan pembukaannya menyatakan, bekas suami pertama Sosilawati, Buhari Mohamed juga akan dipanggil memberi keterangan berhubung urusan jual beli tanah di Pulau Pinang.

Lelaki terbabit juga akan memberi keterangan berkaitan panggilan yang dibuat kepada tertuduh pertama, N. Pathmanabhan yang menafikan bertemu dengan Sosilawati, 47, pada 30 Ogos tahun lalu sebaliknya akan berjumpa dengan pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages (NV) tiga hari selepas itu.

Terdahulu, sebelum perbicaraan bermula, beberapa anggota polis dilihat membawa masuk pelbagai barang kes ke dalam mahkamah antaranya satu tong plastik dipercayai berisi petrol dan beberapa kepingan zink.

Pada prosiding hari ini, lebih 500 keping gambar beberapa lokasi di sekitar Banting berkaitan dengan kes itu yang diambil oleh empat jurugambar dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan Jabatan Forensik IPD Bukit Aman dikemukakan dan diterima masuk sebagai bukti.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments: