Pages

Tuesday, July 5, 2011

Mladic buat kecoh di hadapan hakim


PENDUDUK Sarajevo menonton prosiding mahkamah jenayah antarabangsa terhadap Mladic.
PENDUDUK Sarajevo menonton prosiding mahkamah jenayah antarabangsa terhadap Mladic.

Bekas ketua gerila menghina mahkamah

THE HAGUE: Bekas jeneral gerila Serb Bosnia, Ratko Mladic mencetuskan kekecohan di tribunal jenayah perang Yugoslavia semalam apabila berulang kali memaki ke arah hakim, enggan akur kepada perintah mereka dan tidak mahu menyatakan pengakuan terhadap 11 dakwaan ke atasnya menyebabkan ketua hakim mengusirnya daripada sesi keterangan.
Selepas sesi ditangguhkan seketika sehingga Mladic keluar dari bilik perbicaraan, ketua hakim, Alphons Orie menyambung prosiding dan secara rasmi memberi pengakuan tidak bersalah bagi pihak Mladic sejajar peraturan jika tertuduh kes enggan membuat pengakuan.
“Kamu mahu paksa hujah pembelaan untuk saya, mahkamah jenis apakah ini?” jerit Mladic ke arah Orie, sejurus pengawal mengiringi Mladic keluar dari mahkamah.

Mladic, 69, dituduh merancang kekejaman terburuk gerila Serb ketika perang di Bosnia pada 1992 hingga 1995 yang mengorbankan kira-kira 100,000 penduduk.

Beliau dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai ketika pembunuhan 8,000 lelaki dan budak lelaki Muslim di wilayah Srebrenica, pembunuhan paling kejam di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Mladic sengaja mengganggu dan menyampuk prosiding pada kemunculan keduanya di mahkamah itu sejak ekstradisi dari Serbia, sebulan lalu apabila ditahan di sebuah perkampungan luar Belgrade selepas 16 tahun diburu.
Beliau memakai topi dan mengangguk kepada orang awam yang hadir meskipun diarah tidak berbuat demikian oleh Orie.

Tidak mempedulikan ketua hakim, Mladic berkata dia hanya seorang lelaki tua dan memakai topi itu kerana kepalanya sejuk.

Mladic mengancam memboikot sesi berkenaan kerana pegawai mahkamah belum melantik peguam Serbia dan Russia yang mahu mewakilinya. Pada masa ini, beliau diwakili peguam yang dilantik mahkamah, Aleksander Aleksic.

“Kamu mahu memaksa saya menerima sesuatu perkara yang mustahil, saya tidak mahu peguam ini,” katanya pada awal perbicaraan.

Orie memberitahu Mladic, mahkamah memegang hak untuk meluluskan dua peguam itu.

Seorang peguam yang dikehendaki Mladic ialah Milos Saljic yang menyifatkan peri laku Mladic di mahkamah menunjukkan tertuduh itu tidak layak untuk dibicarakan.

Beratus-ratus penduduk Sarajevo berhimpun di medan utama di ibu negara Bosnia bagi menonton siaran secara langsung prosiding itu sambil bersorak dan menjerit ‘penjahat kejam sudah tiada’ ketika Mladic dibawa keluar bilik mahkamah. – AP Berita Harian Online | Mladic buat kecoh di hadapan hakim

No comments: