Pages

Tuesday, July 5, 2011

Empat jurugambar polis beri keterangan


SHAH ALAM - Hari pertama perbicaraan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain menyaksikan empat jurugambar polis dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Mereka ialah Detektif Koperal Mokhtar Hussain dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Lans Koperal Abdul Aziz Ahmad dan Detektif Sarjan Mhd. Rasdi Mhd. Safien yang kedua-duanya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat serta Detektif Koperal K. Velamal dari Bahagian Bantuan Teknik, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Berdasarkan keterangan keempat-empat saksi itu, sebanyak 168 keping gambar telah dirakam di beberapa lokasi kejadian pembunuhan kejam itu termasuk tempat serpihan tulang-tulang dibuang dipercayai milik empat mangsa.

Antara lokasi rakaman gambar itu termasuk di Sungai Panchau yang terletak di Jalan Morib dan Sungai Kanchong, Banting.

Semua 168 keping gambar itu dikemukakan di mahkamah sebagai eksibit ketika sesi soal jawab di peringkat pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin.

Terdahulu, saksi pendakwaan ketiga, Mhd. Rasdi memberitahu, dia mengambil gambar di tiga lokasi iaitu sebanyak 73 keping gambar dirakam di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Sungai Panchau (42 keping) dan tali air yang terletak di Pekan Banting (23 keping).

Semua gambar itu dirakam pada 12 September 2010.

Kosmo! Online - Negara

No comments: