Pages

Tuesday, June 7, 2011

Yafran ditawan pemberontak

YAFRAN (Libya): Pemberontak Libya memasuki bandar pergunungan ini semalam, sambil memaksa tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi berundur.
Perkembangan itu membayangkan serangan udara Nato di situ membuahkan hasil.

Yafran dipertahankan tentera rejim Gaddafi selama lebih sebulan dan bekalan makanan, minuman dan perubatan di bandar itu semakin kritikal.
Jurugambar Reuters, Youssef Boudlal, berkata wakil pemberontak kini mendakwa mereka menguasai bandar itu daripada tentera kerajaan. “Tiada sebarang tanda-tanda kehadiran tentera Gaddafi,” katanya.

Yafran terletak kira-kira 100 kilometer tenggara Tripoli dan terletak di kawasan Pergunungan Barat.

Majoriti penduduk di situ adalah daripada etnik Barbar dan kebanyakannya turut bangkit menentang kerajaan Gaddafi yang memerintah Libya sejak 41 tahun lalu.
Selepas menguasai timur Libya, barat Misrata dan sejumlah kawasan pergunungan bersempadan dengan Tunisia, kemaraan pemberontak ke Tripoli tersekat oleh kelengkapan tentera Gaddafi yang lebih baik.

Kata Youssef, dia dapat melihat bendera pemberontak dinaikkan, manakala poster Gaddafi dikoyakkan.
Pada 2 Jun lalu, jet tentera Britain meletupkan masing-masing dua kereta kebal dan kenderaan pengangkut berperisai di Yafran.

Beberapa bandar di sepanjang banjaran itu menjadi sasaran tentera yang setia kepada Gaddafi.

Beberapa orang awam berkata, krisis di situ menyebabkan orang ramai mengalami kesukaran serius.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Britain berkata, serangan udara ke atas kawasan timur Libya masuk hari kedua, semalam.

Katanya, helikopter Apache menembak peluru berpandu bagi memusnahkan sebuah sistem pelancar roket berhampiran bandar Brega.

Ia adalah sebahagian daripada pelan meningkatkan operasi ketenteraan di Libya. - Reuters

No comments: