Pages

Tuesday, June 7, 2011

Thai bebaskan 96 pelarian Pakistan




SEORANG wanita Pakistan menangis semasa duduk di dalam bas selepas dibebaskan dari pusat tahanan sementara di Bangkok, semalam. - AFP


BANGKOK 6 Jun - Imigresen Thailand hari ini membebaskan 96 pelarian Pakistan dengan ikat jamin selepas kumpulan itu ditahan hampir enam bulan.
Kumpulan yang merupakan dari mazhab Islam Ahmadiyya itu ditahan Disember lalu selepas tiba dari Pakistan untuk mendapatkan perlindungan suaka politik di luar negara dengan bantuan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) yang beribu pejabat di Bangkok.
Antara mereka yang dibebaskan dengan ikat jamin itu termasuklah 34 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan seorang bayi yang lahir ketika ibunya berada dalam tahanan.
Pembebasan ini diusahakan oleh Jawatankuasa Thailand bagi Orang Pelarian, satu pertubuhan bukan kerajaan, yang menjamin kumpulan itu dengan 5 juta baht (RM500,164).
"Hari ini ialah hari pembebasan kami yang ditangguhkan dan kami bersyukur kepada Tuhan," kata seorang pelarian, Mehmood.
Kumpulan pelarian itu akan ditempatkan di Bangkok sementara menunggu UNHCR memproses permohonan mereka.
Ahmadiyya adalah kumpulan minoriti Islam yang mendakwa diri mereka bukan komuniti politik dan mempunyai 160 juta pengikut di seluruh dunia.
"Kami berbeza dengan kumpulan lain kerana Ahmadiyya tidak pernah terlibat dengan keganasan dan melanggar undang-undang di negara yang kami tinggal," kata jurucakap Misi Luar Antarabangsa Islam Ahmediyya yang beribu pejabat di London, Ahmad Ayaz. - dpa
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: