Pages

Tuesday, June 7, 2011

Halang Saleh balik Yaman




TENTERA yang antikerajaan menyertai para penunjuk perasaan semasa meraikan 'pemergian' Presiden Ali Abdullah Saleh ke Arab Saudi di Sanaa, Yemen, kelmarin. - AFP


SANAA 6 Jun - Penentang kerajaan Yemen hari ini menuntut peralihan kuasa dilakukan segera dan berikrar akan menyekat kepulangan Presiden Ali Abdullah Saleh dari Arab Saudi.
Saleh beransur-ansur pulih di sebuah hospital di Riyadh selepas menjalani dua pembedahan semalam bagi mengeluarkan serpihan dari tubuhnya kesan letupan semasa beliau bersembahyang di sebuah masjid di pekarangan Istana Presiden pada Jumaat lalu.
Beribu-ribu penduduk berhimpun di Sanaa semalam untuk meraikan 'penyingkiran' Saleh selepas Presiden itu berlepas ke Arab Saudi bagi mendapatkan rawatan.
Sebuah jawatankuasa belia yang memainkan peranan utama dalam pemberontakan menentang rejim Saleh menuntut langkah-langkah diambil segera bagi memastikan peralihan kuasa yang lancar.
Ia menggesa semua badan nasional dan politik memulakan usaha bagi menubuhkan sebuah majlis presiden sementara dan mewujudkan sebuah majlis peralihan kebangsaan.
Jawatankuasa itu juga mahu sebuah 'kerajaan teknokrat' dibentuk bagi menyelia proses peralihan.
Kumpulan belia itu, yang menganjurkan tunjuk perasaan antirejim di sebuah dataran di Sanaa sejak Februari lalu menyeru rakyat supaya meraikan 'penyingkiran Saleh'.
Sementara itu pembangkang di Parlimen berikrar untuk menghalang kepulangan Saleh ke negara ini.
"Kami akan berusaha sedaya upaya untuk menghalang kepulangannya.
"Kami melihat pemergiannya sebagai tanda berakhirnya rejim zalim dan korup ini," kata jurucakap pembangkang di Parlimen, Mohammed Qahtan. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: