Pages

Saturday, June 4, 2011

150 pelarian Libya maut di luar pantai Tunisia


TUNIS: Mayat 150 pelarian Afrika yang lari daripada pergolakan di Libya ditemui di luar pantai Tunisia selepas kapal membawa mereka secara haram ke Eropah mengalami masalah hingga tenggelam, kata pegawai agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, semalam. 


“Sehingga kini 150 mayat pelarian ditemui di luar pantai Kerkenneh,” kata Carole Laleve, pegawai dengan Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), merujuk kepada pulau Tunisia itu.
“Operasi diteruskan,” katanya lagi. Bot itu mengalami masalah Selasa lalu kira-kira 20 kilometer dari Kerkenneh ketika menghala ke Itali, lapor agensi berita tempatan Tunisia, TAP.
Pengawal pantai Tunisia dan anggota tentera menyelamatkan 570 orang, namun ramai terjun ke dalam air apabila pelarian berebut-rebut untuk turun dari bot nelayan kecil yang dinaiki, ditambah dengan kesan ombak bergelora, menenggelamkan sebahagian kapal, kata pegawai Tunisa. 

Secara keseluruhan, kira-kira 250 orang dilaporkan hilang kelmarin dari kapal itu.


Di GENEVA, jurucakap UNHCR Adrian Edwards berkata rakannya di Tunisia bercakap dengan sesetengah pelarian terselamat yang berkata bot mereka dikendali ‘seorang kru yang direkrut tiba-tiba dengan sedikit atau tanpa pengalaman mengemudi.’ 

Maeve O’Donnell, penolong operasi Organisasi Penghijrahan Antarabangsa (IOM) di Tunisia berkata, seorang mangsa memberitahunya ‘menaiki bot itu adalah kesilapan terbesar dalam hidupnya.’ 
“Mereka belayar selama tiga hingga empat hari apabila bot melanggar sesuatu. Mereka terkandas selama beberapa hari dan terpaksa minum air laut dan air dari enjin bot,” menurut laporan yang memetiknya sebagai berkata. 

Elisabeth Byrs dari Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan PBB berkata kira-kira 15,964 pelarian tiba di Itali dan Malta sejak krisis Libya meletus. – Reuters 

http://www.bharian.com.my

No comments: