Pages

Saturday, June 4, 2011

Presiden Yaman cedera dalam serangan meriam




KEBAKARAN dilihat berlaku pada sebuah bangunan semasa pertempuran berlaku antara kabilah Sheik Sadiq al-Ahmar dengan pasukan keselamatan Yemen di Sanaa lewat malam kelmarin.


SANAA - Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh semalam cedera selepas satu siri serangan meriam mengenai sebuah masjid yang terletak di dalam kawasan istana presiden.
Turut cedera ialah Perdana Menteri Yemen, Ali Mohammed Mujawar dan beberapa pegawai pemerintah yang lain. Serangan ke atas masjid itu berlaku ketika kebangkitan rakyat terus mengorbankan orang awam dan membawa negara itu ke kancah perang saudara.
Dalam kejadian sama, empat orang pegawai elit Penjaga Republikan terbunuh apabila dua bedilan meriam mengenai masjid.
Satu sumber rapat Ali memberitahu, Timbalan Perdana Menteri, Jeneral Rashad al-Alimi kini dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan yang serius.
Serangan tersebut didakwa dilakukan oleh kabilah yang setia kepada Sheikh Sadiq al-Ahmar, pemimpin yang pengikutnya sering bertempur dengan tentera pemerintah di utara Sanaa sejak Selasa lalu.
"Kabilah Ahmar telah melampaui batas," tegas jurucakap Kongres Rakyat Awam Yemen, Tareq al-Shami.
Semalam, tentera Yemen telah menyerang kabilah tersebut dan melepaskan tembakan meriam ke arah rumah Sheikh Hamid al-Ahmar, pemimpin sebuah parti pembangkang terbesar di Yemen yang juga adik Sheikh Sadiq.
Sejak bulan Februari lalu, Ali berdepan protes di seluruh negara bagi menuntut beliau meletakkan jawatan selepas 32 tahun pemerintahannya.
Kebangkitan rakyat Yemen itu berlaku disebabkan kejayaan penduduk Mesir dan Tunisia yang menunjuk perasaan sehingga menyebabkan kedua-dua presiden di negara berkenaan, Hosni Mubarak serta Zine El Abiden Ben Ali yang sudah lama memerintah meletakkan jawatan. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

No comments: