Pages

Sunday, May 22, 2011

16 maut trak minyak NATO diserang militan


MUSNAH DEK LETUPAN BOM: Para penduduk meninjau sebuah lori pembawa bekalan minyak kepada tentera NATO di Afghanistan, selepas ia diserang dengan bom oleh sebuah kumpulan militan di Landikotal, wilayah Khyber, Pakistan, semalam. - Foto REUTERS

LANDIKOTAL 21 Mei - Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh selepas sebuah trak yang membawa bekalan minyak untuk tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Afghanistan dibom oleh militan di barat laut Pakistan hari ini.

Kejadian berlaku berhampiran sempadan menyeberangi Torkham di wilayah Khyber, laluan utama menyalurkan bekalan kepada tentera NATO dan Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan.
"Trak minyak itu terbakar selepas dibom lewat semalam dan ketika api telah dapat dikawal, satu letupan berlaku lagi ketika orang ramai berebut-rebut mengambil minyak yang bocor dan menyebabkan 16 orang terbunuh," kata pegawai pentadbir kanan tempatan di Khyber.
Menurut polis, letupan pertama disebabkan oleh serangan bom.
Dalam kejadian berasingan di wilayah sama semalam, sebanyak 16 trak minyak terbakar selepas dibom tetapi tidak menyebabkan sebarang kecederaan.
Militan meningkatkan serangan di Pakistan sejak tentera elit AS membunuh pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden di bandar Abbottabad, Pakistan pada 2 Mei lalu.
Abdullah Azzam Brigade yang merupakan anggota kumpulan militan yang mempunyai kaitan dengan Taliban mengaku bertanggungjawab atas kedua-dua serangan itu.
"Ini adalah jihad kami menentang AS. Kami mahu menghentikan penghantaran bekalan kepada NATO dari negara ini," kata jurucakap kumpulan itu, Abu Musa'ab melalui panggilan telefon dari lokasi yang tidak diketahui.
Serangan itu berlaku beberapa jam selepas Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab menyerang konvoi diplomat AS di Peshawar. - REUTERS
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: