Pages

Sunday, April 24, 2011

Sisa tsunami paksa kapal ubah haluan



    Foto
    SEBUAH rumah terapung di laut dekat daerah Ofunato, wilayah Iwate yang musnah dilanda tsunami.

    Foto
    SEKAWAN burung ‘lepak’ di bumbung kereta di sungai daerah Kesennuma, wilayah Miyagi yang teruk dilanda tsunami.

    TOKYO: Sisa kemusnahan yang banyak akibat gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu di Jepun yang terapung di laut memaksa kebanyakan kapal mengubah laluan perjalanan mereka.
    Sebanyak lapan peratus kapal Jepun bagi pengangkutan domestik perlu mengubah haluan dengan melalui Laut Jepun dan bukan lagi Lautan Pasifik berikutan sisa kemusnahan atau sampah tsunami yang banyak terapung yang amat berbahaya kepada kapal kecil.
    Ia merujuk kepada kapal yang membawa muatan kurang daripada 499 tan, kata seorang pegawai Persekutuan Persatuan Perkapalan Laut Jepun. Sebanyak 5,600 kapal di Jepun digunakan untuk pengangkutan domestik dan 4,500 adalah kapal kecil kurang 499 tan.




    Kapal lebih besar daripada kategori itu juga mengelak daripada menggunakan Lautan Pasifik atas sebab keselamatan, menunjukkan bahawa majoriti kapal Jepun menggunakan laluan alternatif selepas gempa bumi 11 Mac, kata pegawai berkenaan.


    “Sisa itu banyak dekat perairan kawasan Sanriku (berhampiran pusat gempa di wilayah Miyagi) dan menuju Hawaii,” kata pegawai terbabit sambil menambah bahawa sisa kemusnahan yang terapung mengundang risiko pelanggaran dan kerosakan kerana ia boleh terperangkap dengan mudah dalam kipas kapal.


    Ada pemilik kapal juga bimbang ancaman dari kebocoran radiasi loji nuklear Fukushima Daicihi. Kapal menggunakan air laut bagi tujuan penyejukan dan ada kebimbangan pencemaran radioaktif yang boleh menjejaskan kesihatan anak kapal dan juga menjejaskan kapal itu sendiri.
    Kapal yang belayar dari Hokkaido melalui Laut Jepun ke pelabuhan Chiba di teluk Tokyo misalnya terpaksa menggunakan dua kali ganda minyak berikutan jarak lebih jauh yang dilalui, katanya.


    Pemilik kapal juga boleh menuntut pampasan kewangan daripada kerajaan. Forum Pemulihan Jepun 311, membabitkan pakar bukan kerajaan mewujudkan sebuah kumpulan kerja untuk mengkaji kerugian kewangan berpunca daripada kerosakan loji nuklear Fukushima Daiichi.


    Kapal dari Russia ke Jepun juga menggunakan laluan yang lebih jauh melalui Laut Jepun berbanding Lautan Pasifik.


    Dalam kes membabitkan kargo dari Russia kos meningkat berikutan laluan yang lebih jauh, kata seorang peniaga Tokyo, yang menganggarkan kos meningkat dari Vladivostok Russia ke pelabuhan Yokohama di Jepun melalui laluan Laut Jepun adalah sebanyak AS$1 (RM3) satu paun bagi setiap kontena kargo kapal pelbagai saiz. – Agensi


      No comments: