Pages

Sunday, April 3, 2011

Reaktor Nombor 2 punca radioaktif bocor



TOKYO 2 April - Pengurusan loji tenaga nuklear Fukushima menyatakan kebocoran radioaktif berpunca dari keretakan lubang konkrit reaktor Nombor Dua ketika Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan hari ini buat pertama kali melawat wilayah paling teruk dilanda tsunami di negara ini.
Timbalan Ketua Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri, Hidehiko Nishiyama berkata, penemuan keretakan itu dapat membantu menjelaskan mengapa usaha untuk menangani krisis nuklear itu tidak berjaya.
''Dengan peringkat radiasi meningkat di kawasan laut berdekatan loji berkenaan, kami sedang mengesahkan puncanya dan dalam konteks ini, ia mungkin satu daripada puncanya.
''Kita perlu mengkaji semua keputusan terlebih dahulu sebelum mengesahkannya,'' katanya.
Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) berkata, radiasi di lubang berkenaan diukur sebanyak 1,000 milisievert sejam.
''TEPCO kini bersedia untuk menuang konkrit ke dalam lubang itu untuk menghentikan kebocoran berkenaan,'' ujar Nishiyama.
Dalam pada itu, Kan bertemu mangsa-mangsa tsunami yang tinggal di khemah-khemah di perkampungan nelayan di Rikuzentakata, yang musnah dilanda tsunami pada 11 Mac lalu ekoran gempa bumi kuat.
''Ia akan memakan masa yang panjang untuk memulihkan keadaan tetapi kerajaan akan bekerjasama dengan anda sehingga ia selesai. Saya mahu semua melakukan yang terbaik,'' katanya kepada seorang mangsa di sebuah sekolah yang kini menjadi pusat pemindahan sementara. - Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: