Pages

Sunday, April 3, 2011

Ijazah PhD anak lelaki Gaddafi dipertikai



LONDON, Britain - Seorang anak lelaki pemimpin Libya, Muammar Gaddafi didakwa memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) daripada Sekolah Ekonomi London (LSE) melalui 'pintu belakang' selepas dia menghulurkan derma lumayan untuk institusi pengajian tinggi berprestij itu, lapor sebuah akhbar semalam.
Kesangsian tentang tesis Saif Al Islam Gaddafi, 38, timbul berikutan dia mendermakan £1.5 juta (RM7.3 juta) kepada LSE selepas memperoleh ijazah PhD pada 2008.
Media Britain mendakwa Saif mendapat 'bantuan aktif' Nigel Sheinwald yang ketika itu merupakan penasihat kanan dasar luar Perdana Menteri Britain, Tony Blair.
Saif memperoleh ijazah PhD pada 2008 setelah menyiapkan tesis setebal 429 muka surat bertajuk The Role of Civil Society in the Democratisation of Global Governance Institutions.
Sheinwald, 57, kemudian dilantik oleh Blair sebagai Duta Britain ke Amerika Syarikat (AS).
Sebelum itu, Britain melalui syarikat minyaknya, BP telah diberikan kontrak lumayan cari gali minyak di Libya oleh Gaddafi dengan persetujuan Blair.
Isu ketulenan tesis Saif kini menjadi sebahagian siasatan satu suruhanjaya diketuai oleh bekas ketua hakim Britain, Harry Woolf yang menyiasat hubungan kewangan LSE dengan Libya
"Saya yakin siasatan Woolf akan mendedahkan banyak perkara 'menarik' tetapi saya begitu tertarik untuk mengetahui pembabitan penasihat Blair dalam tesis Saif Gaddafi," kata seorang wakil rakyat, Patrick Mercer. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

No comments: