Pages

Sunday, April 10, 2011

Malaysia bantah Indonesia tahan bot

BAGAN DATOH 9 April - Malaysia akan menghantar nota bantahan kepada kerajaan Indonesia berhubung penahanan tiga buah bot nelayan dari Hutan Melintang, Perak oleh pihak berkuasa republik itu semalam, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar).
Beliau berkata, bantahan itu akan dibuat melalui Kementerian Luar dan ia akan disampaikan oleh Duta Malaysia di Jakarta kepada kerajaan negara jiran itu.
Menurutnya, penahanan bot itu dilaporkan berlaku di perairan Selat Melaka kira-kira 25 batu nautika dari sempadan perairan Malaysia-Indonesia dan 45 batu nautika barat daya Pulau Pinang.
"Nota bantahan itu meminta supaya pihak berkuasa Indonesia menghentikan tindakan menahan bot nelayan negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan anugerah kecemerlangan Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, kedua-dua buah negara telah bersetuju untuk menangani masalah seperti itu secara semangat kejiranan demi menjaga hubungan baik.
''Dalam perbincangan saya dengan Menteri Pertahanan dan Menteri Perikanan dan Kelautan Indonesia baru-baru ini, kita telah mencapai kata sepakat menangani masalah itu secara telus.
"Tetapi kita tidak faham mengapa kejadian ini masih berlaku di peringkat bawahan yang sanggup merosakkan hubungan baik dengan mengadakan tindakan provokasi," katanya.
Menurutnya, sebelum ini enam buah bot nelayan yang ditahan tiga bulan lalu juga belum dibebaskan walaupun selepas proses perundangan dijalankan.
"Saya dapat tahu peralatan menangkap ikan, alat perhubungan canggih telah dirampas, yang tinggal hanya badan bot dan enjin saja," katanya.
Ahmad Zahid berkata, jika Malaysia melakukan tindakan yang sama ke atas bot negara jiran, media cetak dan elektronik republik itu akan menghentam negara dengan pelbagai tuduhan.
"Kita berharap kedua-dua negara menghormati keputusan yang telah dicapai kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan dan kita minta pihak berkuasa Indonesia supaya menghormati undang-undang negara ini," tambahnya. - Bernama
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments: