Pages

Saturday, April 16, 2011

Ciuman terakhir

MARANG: “Pada hari kejadian arwah kerap mencium pipi saya ketika bermain sedangkan dia jarang buat begitu sebelum ini,” kata Liza Abd Razak, 26, ibu kepada Izzah Badrina Mohd Faizul, berusia 17 bulan yang maut selepas dirempuh kereta dipandu neneknya di Batu 23, Kampung Pulau Rusa, Merchang, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, Izzah Badrina yang parah di kepala meninggal dunia di pangkuan ibunya ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Merchang untuk rawatan kecemasan.

Menurut Liza, arwah turut kelihatan lebih rapat dengan bapanya, Mohd Faizul Mohd Nawi, 27, apabila mereka menghabiskan banyak masa bermain bersama pada malam sebelum kejadian malang itu.

“Arwah memang rapat dengan saya berbanding suami yang jarang berada di rumah disebabkan kerap turun ke laut tetapi malam itu (Rabu) dia banyak menghabiskan masa bersama ayahnya.

“Malah, arwah juga kelihatan gembira ketika bermain bersama ayahnya. Saya sama sekali tidak menduga sikap manja itu petanda dia meninggalkan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, semalam.


Menceritakan kejadian malang menimpa anaknya, Liza berkata, Izzah Badrina bermain di kawasan rumah ibu mentuanya, Fatimah Muda, 56, manakala dia pula menyapu sampah di halaman rumah memandangkan mereka tinggal berjiran.

Ketika kejadian, katanya, dia bersama dua anak termasuk arwah dan keluarga mentua berada di rumah sebelum ibu mentua mengalihkan keretanya ke tempat redup disebabkan panas.

“Kejadian itu berlaku apabila arwah muncul secara tiba-tiba di hadapan kereta menyebabkan ibu mentua yang terkejut secara tidak sengaja tertekan pedal minyak dan merempuhnya.

“Dalam keadaan panik, saya meminta bantuan jiran membawa Izzah Badrina ke klinik berhampiran tapi Allah lebih menyayanginya apabila arwah menghembuskan nafas terakhirnya di pangkuan saya.

“Walaupun masih bersedih dengan kejadian ini, saya sama sekali tidak berdendam dengan ibu mentua kerana ia berlaku di luar jangkaan,” katanya.


Jenazah Izzah Badrina yang juga anak bongsu daripada tiga beradik dikebumikan selepas solat Asar pada hari sama di Tanah Perkuburan Serating, dekat sini.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, mangsa dipercayai dilanggar secara tidak sengaja neneknya yang mengalihkan Proton Wira.


“Pada mulanya kes ini disiasat Bahagian Trafik sebelum diambil alih Jabatan Siasatan Jenayah dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan,” katanya.myMetro | Ciuman terakhir

No comments: