Pages

Saturday, April 16, 2011

Aisha tak setuju bapa undur


Anak Gadaffi anggap tekanan Barat penghinaan kepada rakyat Libya


TRIPOLI: Peletakan jawatan pemimpin Libya, Muamar Gaddafi adalah 'satu penghinaan kepada semua rakyat Libya', kata anak perempuannya semalam selepas pemimpin Barat berulang kali mendesak bapanya meletak jawatan.
“Bercakap mengenai peletakan jawatan Gaddafi, ia adalah satu penghinaan kepada semua rakyat Libya. Gaddafi berada dalam hati semua penduduk Libya,” katanya dalam kenyataan ringkas di kediaman bapanya di Tripoli di hadapan beratus-ratus penyokong.
“Anda mahu bunuh bapa saya dengan berpura-pura melindungi orang awam. Di mana semua orang awam ini? Adakah mereka membawa mesingan, RPG (pelancar roket) atau bom tangan?” katanya merujuk serangan udara Tentera Bersekutu. 

Aisha Gaddafi adalah profesor perundangan selain menjadi salah seorang daripada pasukan pembela bekas pemimpin Iraq, Saddam Hussein yang ditahan tentera diketuai Amerika Syarikat selepas menyerang negara Teluk itu pada 2003. 

Agensi berita melaporkan, beratus-ratus orang berhimpun di kediaman Gaddafi lewat kelmarin dan awal semalam, melaungkan slogan pro-Gaddafi, antaranya termasuk ‘Hanya Allah, Muammar dan Libya’ serta ‘Penduduk mahukan Muammar sebagai pemimpin.’ 

Kumpulan ramai itu bersorak apabila Aisha muncul di balkoni. 
“Biar saya melihat ke belakang apabila saya seorang kanak-kanak, ketika saya berusia sembilan tahun di rumah ini. Hujan peluru berpandu dan bom. Mereka cuba bunuh saya. 

“Mereka bunuh berpuluh kanak-kanak di Libya. Kini, selepas 25 tahun, peluru berpandu yang sama, bom yang sama, menghujani kepala anak-anak kita. Kita adalah penduduk yang tidak boleh ditewaskan,” katanya. 

Pemimpin Britain, Perancis dan Amerika Syarikat kelmarin berkata bahawa masa depan rakyat Libya bersama Gaddafi tidak dapat diterima dan disifatkan perbuatan khianat dunia terhadap penduduknya. 

Perdana Menteri Britain, David Cameron; Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berikrar bahawa mereka tidak akan berehat sehingga resolusi PBB digunakan, dalam satu artikel bersama disiarkan beberapa akhbar antarabangsa. 

“Selagi Gaddafi berkuasa, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan sekutunya akan meneruskan operasi sehingga orang awam selamat dan tekanan diperhebat ke atas rejim pemerintah. 

“Selepas itu, peralihan kuasa daripada diktator kepada proses Perlembagaan boleh bermula dipimpin oleh pemimpin generasi baru,” kata mereka. – AFP/AP 

No comments: