Pages

Wednesday, April 27, 2011

2,000 masih terperangkap di Misrata



PENEMBAK curi pemberontak melepaskan tembakan ketika membantu rakan menyerang tentera pro-Gaddafi di daerah Zwabi, bandar Misrata.
PENEMBAK curi pemberontak melepaskan tembakan ketika membantu rakan menyerang tentera pro-Gaddafi di daerah Zwabi, bandar Misrata.
warga asing menunggu bantuan untuk dibawa keluar

WASHINGTON: Kira-kira 2,000 warga asing masih terperangkap di pelabuhan Misrata di barat Libya menunggu untuk dibawa keluar dari negara yang dilanda perang itu, kata pegawai Amerika Syarikat, semalam.
Sumber berkata pasukan tentera yang setia dengan pemimpin negara itu Muammar Gaddafi berjaya diusir dari Misrata, tetapi serangan roket terus menggegarkan bandar ketiga terbesar di Libya itu.

“Setakat ini kami mendapat maklumat bahawa ada kira-kira 2,000 warga asing dari negara dunia ketiga berada di Misrata menunggu untuk dibawa keluar,” kata pegawai kanan Jabatan Negara Amerika Reuben Brigety yang mengendalikan hal ehwal pelarian.

Beliau berkata kapal yang membawa bantuan kepada pemberontak di Misrata boleh membawa sejumlah pelarian keluar dari negara itu. 

Pengarah Pejabat Bantuan Bencana Luar Negara Amerika, Mark Bartolini berkata Misrata setakat ini tidak memerlukan bantuan makanan tambahan kerana simpanan bahan keperluan makan adalah mencukupi.

Sebuah kapal Amerika membawa 560 tan minyak sayuran dan 270 tan kacang bagi membantu Libya, memunggah kargi di pelabuhan Iskandariah, semalam. 
“Beberapa penghantaran sudah pun diagihkan kepada penduduk, bagaimanapun sejumlah besar lagi akan dibahagikan oleh Program makanan Dunia (WFP).

“Wujud kebimbangan bekalan makanan akan berkurangan jika konflik berterusan,” katanya.

Sementara itu di Tripoli, Gaddafi dilaporkan terus bertahan, walaupun selepas pesawat perang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengebom kompleks kediaman dan pejabatnya di ibu negara Libya itu.

“Gaddafi masih menjalankan tugas dari Tripoli. Beliau sihat dan kini mengetuai peperangan untuk kemanan dan demokrasi di Libya,” kata jurucakap rejim, Mussa Ibrahim pada sidang media yang dihadiri beberapa orang duta.

Beliau berkata Gaddafi kini berada di tempat yang selamat dan sedang memenangi pertempuran dengan pemberontak.

“Beliau bekerja setiap hari dan menyediakan penduduk dengan makanan, ubat dan bahan api,” katanya.

Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 45 lagi cedera, 15 daripada mereka parah dalam serangan pesawat NATO malam kelmarin.

Saksi berkata lima letupan besar kedengaran di timur Tripoli malam kelmarin, tetapi tidak dapat memastikan lokasinya. – AFP , bharian

No comments: