Pages

Tuesday, March 22, 2011

Istana Gaddafi musnah dibom




Keadaan bangunan pentadbiran Istana Bab Al-Aziziya, Tripoli yang musnah dalam serangan tentera bersekutu pagi semalam.


TRIPOLI - Istana utama Pemerintah Libya, Muammar Gaddafi di sini dibom oleh tentera Amerika Syarikat (AS) dan empat negara sekutunya dalam serangan terbaru semalam.
Ia sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa diktator tersebut mungkin terbunuh.
Selepas serangan tersebut, sumber kerajaan Libya segera menyifatkan laporan bahawa anak keenam Gaddafi, Khamis mati dalam serangan tersebut sebagai berita tidak masuk akal.
Khamis masih lagi menjadi komander tentera Brigade ke-32.
Serangan lewat malam itu memusnahkan sama sekali bangunan pentadbiran tiga tingkat yang terletak di dalam kawasan istana yang dikenali sebagai Bab Al-Aziziya itu.
Bangunan pentadbiran yang musnah itu terletak 50 meter dari sebuah khemah Badwi yang lazimnya digunakan oleh Gaddafi untuk menyambut tetamu negara.
Pengarah Staf Jabatan Pertahanan (Pentagon) AS, William E. Gortney menafikan menjadikan pemimpin Libya itu sebagai sasaran.
"Saya boleh jamin beliau (Gaddafi) bukan dalam senarai sasaran. Kami tidak menyasarkan kediamannya. Serangan sebaliknya mahu memusnahkan kemampuan arahan dan kawalan Gaddafi," katanya.
Kepulan asap dapat dilihat dengan jelas dari kawasan istana berkenaan.
Namun kebakaran dikatakan tidak merebak walaupun serpihan konkrit berterabur di kawasan berhampiran.
Lokasi tersebut pernah dibom oleh AS pada tahun 1986 dalam serangan yang menyebabkan anak angkat perempuan Gaddafi, Hana terbunuh.
Gaddafi juga dikatakan sering memberi ceramah di hadapan satu arca emas yang menunjukkan tangan menggenggam replika jet pejuang AS bagi mengingati serangan sebelum ini.

No comments: