Pages

Tuesday, March 22, 2011

Jepun rugi RM705b – Bank Dunia



GAMBAR yang dirakam semalam menunjukkan sebuah perkuburan dipenuhi kereta-kereta yang dibawa arus tsunami di Ishinomaki, Miyagi di Jepun pada 11 Mac lalu. – AFP


TOKYO 21 Mac – Gempa bumi besar dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu boleh mengakibatkan kerugian ekonomi sehingga AS$235 bilion (RM705 bilion) atau kira-kira 4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK), tetapi ia akan pulih selepas pembinaan semula dilakukan.
“Sekiranya sejarah dijadikan ukuran, pertumbuhan KDNK Jepun tidak akan terjejas sepanjang pertengahan tahun ini,” kata Bank Dunia dalam laporan terbarunya tentang Ekonomi Asia Timur dan Pasifik di sini hari ini.
Institusi kewangan dunia itu menyatakan, pertumbuhan ekonomi Jepun akan meningkat semula pada suku tahun berikutnya ketika usaha pembinaan semula yang mungkin mengambil masa lima tahun dilaksanakan.
Bank Dunia menjangkakan, kesan ekonomi paling minimum akibat gempa dan tsunami itu kepada Jepun bernilai sekitar AS$122 bilion (RM366 bilion) atau bersamaan 2.5 peratus KDNK negara ini.
Pakar ekonomi rantau Bank Dunia, Vikram Nehru berkata, bencana itu juga boleh memberi kesan kepada keseluruhan Asia tetapi masih terlalu awal untuk mengeluarkan jangkaan kerugian di rantau tersebut.
Dalam perkembangan baru di Jepun hari ini, para pekerja diarah mengosongkan loji nuklear Fukushima selepas asap kelabu dilihat keluar dari sebuah daripada reaktornya.
Jurucakap operator loji Tokyo Electric Co. (TEPCO), Hiroshi Aizawa berkata, syarikatnya sedang menyiasat punca kejadian selepas kepulan asap dilihat dari tangki simpanan reaktor No. 3.
TEPCO dalam satu laporannya hari ini mengakui syarikatnya gagal menjalankan pemeriksaan berjadual sepatutnya di loji tersebut dua minggu sebelum gempa bumi dan tsunami melanda.
Dalam satu laporan kepada agensi nuklear Jepun, TEPCO berkata pihaknya gagal memeriksa 33 kelengkapan di enam reaktor loji terbabit.
Menurut operator itu melalui laman webnya, antara yang gagal diperiksa adalah sistem penjanaan kuasa elektrik di reaktor No. 1, yang merupakan krisis utama nuklear yang dihadapi Jepun kini. – AP/AFP/
Reuters

No comments: