Pages

Thursday, March 17, 2011

Garcia kayuh basikal jelajah seluruh dunia



Pablo Garcia menaiki basikalnya ketika sampai di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 16 Mac - Bagi mencapai impian zaman kanak-kanak untuk menjelajah seluruh dunia, seorang pengembara Argentina terus memberanikan diri dan menguatkan semangat dalam melaksanakan cabaran berbasikal secara solo bagi mencapai misi mengelilingi dunia sejak 9 Jun 1999.
Pablo Garcia, 37, berkata, beliau memulakan misi itu dari Brazil dan telah menjelajah pelbagai negara di Eropah dan Afrika serta Asia sebelum sampai ke Malaysia pada 13 Mac lalu.
Katanya, Malaysia merupakan negara ke-72 yang dikunjunginya dalam pengembaraan sejak hampir 11 tahun tersebut.
"Saya berasa selesa di sini kerana bukan sahaja cuacanya baik, malah rakyat negara ini juga ramah, mudah berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan kedatangan saya juga dialu-alukan.
"Saya rasa Malaysia sangat harmoni dan mendamaikan selain begitu unik kerana rakyatnya berbilang kaum dan mempunyai pelbagai budaya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di perhentian bas Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Menurut Garcia, dia pada mulanya menyasarkan untuk menjelajah seluruh dunia dengan basikal dalam tempoh tiga tahun sahaja.
Bagaimanapun, situasi yang dihadapinya di sesuatu tempat membuatkan beliau terpaksa mengubah rancangannya mengikut kesesuaian masa dan keadaan.
Katanya, beliau telah mengharungi perjalanan sejauh 92,000 kilometer dalam masa sembilan tahun dan menyasarkan kira-kira 25,000 kilometer lagi dalam tempoh dua tahun bagi menamatkan misinya itu.
Menurut Garcia, beliau bertuah kerana misinya itu sentiasa mendapat sokongan pihak-pihak tertentu yang sudi membiayainya termasuk daripada AirAsia dan syarikat IMPSA (Malaysia) Sdn. Bhd.
Menceritakan pengalaman pahit manisnya, Garcia berkata, antara perkara yang tidak boleh dilupakan ialah beliau pernah dirompak sewaktu di Brazil.
"Ketika itu saya ditahan oleh tiga lelaki dan mereka bukan sahaja mengambil wang malah turut melarikan basikal saya.
"Saya cuba menghalang sambil menjerit meminta tolong dan akhirnya diselamatkan oleh penduduk di sana. Saya bertuah kerana perompak itu akhirnya mengembalikan semua barang saya," katanya.
Menurut Garcia, antara peristiwa menakutkan yang pernah diharunginya ialah ketika beliau tersesat seharian di sebuah kawasan padang pasir di Djibouti, Afrika.
"Saya tidak tahu arah mana saya patut ambil, semuanya menjadi buntu. Saya hanya berpusing-pusing di kawasan itu sebelum bertembung dengan sepasukan askar Perancis. Merekalah yang memberikan air dan makanan serta membawa saya keluar dari padang pasir itu," jelasnya.
Bagaimanapun kata beliau, walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai peristiwa buruk atau kurang menyenangkan, ia tidak mematahkan semangatnya untuk 'menakluki' dunia.
"Semua halangan dan cabaran itu saya jadikan sebagai pembakar semangat. Selepas ini saya akan mengembara dengan basikal ini ke Singapura sebelum ke Australia, New Zealand dan Kanada. Argentina adalah destinasi terakhir dan pelengkap kepada misi ini.
"Saya berharap misi ini akan berjaya menyampaikan mesej kepada penduduk dunia bahawa setiap orang harus sentiasa mengamalkan sikap tolak ansur dan saling menghormati budaya dan agama orang lain bagi menyuburkan keharmonian dan keamanan dunia," katanya.
-utusan

No comments: