Pages

Sunday, October 17, 2010

Bicara bunuh bermula



JUTAWAN kosmetik. Kematian Sosilawati perlu dibela dan diberi keadilan.



KES pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya memasuki babak baru minggu ini. Selepas genap sebulan ditahan bagi membantu siasatan, suspek, peguam N. Pathmanabhan serta tiga pekerjanya dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, Selangor bagi menghadapi tuduhan membunuh jutawan kosmetik itu dan tiga rakannya pada bulan Ramadan lalu.
Tiga lagi tertuduh yang didakwa bersama N. Pathmanabhan, 41, ialah pekerja ladang milik peguam berkenaan iaitu T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Kathavarayan, 30.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang kelihatan tenang semasa pertuduhan dibacakan dalam bahasa Malaysia untuk Pathmanabhan dan bahasa Tamil untuk tiga yang lain.
Kesemua tertuduh didakwa dengan empat tuduhan yang dibacakan berasingan iaitu membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamarudin Shansudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara pukul 8.30 malam dan pukul 9.45 malam 30 Ogos lalu iaitu pada hari ke-20 Ramadan.
Mereka berhadapan dengan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Majistret Hurman Hussain menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Kisah Sosilawati bermula apabila beliau dilaporkan hilang selepas keluar dari pejabatnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu.
Kes ini menjadi sensasi kerana Sosilawati dilaporkan mengeluarkan wang sebanyak RM4 juta kononnya untuk urusan jual beli tanah di Pulau Pinang yang diuruskan oleh peguam yang berpejabat di Banting itu.

SURESH (kiri) dan Sarawanan dipenjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah melupuskan bahan bukti pembunuhan Sosilawati Jumaat lalu.


Suspek
Misteri kehilangan pemilik lebih 300 cawangan NV di seluruh negara dan beberapa negara jiran ini mula menunjukkan petanda dengan penemuan kereta mewah milik Sosilawati dan Ahmad Kamil masing-masing di Subang Jaya pada 9 September.
Berdasarkan laporan polis, kenderaan mewah jenis BMW X5 milik Sosilawati dengan nombor pendaftaran WTL 11 dijumpai di Flat Angsana USJ1 Subang Jaya. Kereta BMW M5 milik Ahmad Kamil turut dijumpai di depan Hotel Dorsett, kira-kira lima kilometer dari situ.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Mohd. Zinin pada 12 September lalu mengesahkan kesemua mereka telah dibunuh.
Susulan itu, Pathmanabhan dan tujuh lagi suspek ditahan di antara 9 September dan 12 September.
Siasatan kes pembunuhan itu turut dikaitkan dengan beberapa kes orang hilang dan jenayah komersial di daerah Kuala Langat, termasuk pembunuhan ahli perniagaan dari Chennai, India, Allal Kantan Muthu Raja yang tiba di sini pada 18 Januari lalu.
Selepas pembunuhan Sosilawati berjaya dibongkar, pelbagai cerita mengenainya dilaporkan akhbar termasuk wanita itu dirogol dan disembelih - khabar angin yang dinafikan pihak polis.
Bakri berkata, berdasarkan pengakuan empat daripada enam pekerja itu, mereka menyatakan mangsa-mangsa telah diikat, dipukul, ditikam dan dibakar sebelum abu kesemua mayat itu di buang ke dalam Sungai Panchau.

LADANG Gadong di Tanjung Sepat, Banting menjadi tempat Sosilawati dan rakan-rakannya dibunuh.


Sehingga ke hari suspek didakwa di mahkamah, polis percaya mereka memiliki bukti-bukti kukuh untuk mensabitkan penjenayah terbabit.
Ini termasuk penemuan beberapa serpihan tulang manusia dipercayai milik empat mangsa itu di Sungai Panchau.
Selain tulang, pasukan penyelam polis turut menemui beberapa senjata seperti pisau berbentuk kerambit, batang besi sepanjang 30 sentimeter dan sebatang kayu dengan kesan terbakar di Sungai Kanchong Laut.
Pengakuan
Barangan peribadi mangsa iaitu dua utas jam tangan turut ditemui di sungai itu.
Di dalam Sungai Gelanggang Buaya, Kampung Kelanang pula polis menjumpai enam keping zink yang dipercayai dijadikan pelapik untuk membakar mayat Sosilawati.
Sungai itu terletak kira-kira 20 kilometer dari Ladang Gadong yang menjadi lokasi pembunuhan kejam keempat-empat mangsa. Kepingan zink itu dipercayai dibuang di lokasi yang jauh dari tempat pembunuhan dipercayai bagi menghapuskan bukti.
Persoalannya, adakah semua bukti yang dikumpul memadai untuk mensabitkan jenayah yang dilakukan oleh semua suspek terbabit? Bagaimana jika nanti semua suspek itu dibebaskan berikutan terdapat keraguan pada bukti yang dikemukakan?
Menurut Bekas Ketua Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Amidon Anan, sains forensik moden kini mampu mengaitkan seseorang suspek kepada mangsa atau kejadian jenayah melalui hubungan persekitaran tempat jenayah itu dilakukan.
Bukan sekadar cap jari, malahan kesan gigitan atau bulu haiwan, sisa tumbuhan, serangga, cecair dan bahan kimia, dadah, mineral, fabrik mahupun kesan cuaca ke atas mangsa, suspek ataupun bahan bukti lain boleh menentukan suspek disabit kesalahan atau dibebaskan.
"Jadi, anggota forensik yang memberi keterangan di mahkamah biasanya terdiri daripada mereka mahir menjawab pelbagai persoalan sains forensik yang mungkin timbul berkaitan bahan bukti atau perkara berkaitan kes tersebut," katanya.

ZINK yang dijadikan pelapik untuk membakar mangsa turut dijadikan bahan bukti.


Bagaimanapun, pengakuan bersalah oleh dua lelaki di Mahkamah Majistret Telok Datok Jumaat lalu mungkin memberi kelegaan kepada pasukan pendakwaan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun kerana melupuskan bahan bukti dengan membakar dan membuang abu mayat Sosilawati dan tiga yang lain.
Sarawanan, seorang bekas mekanik, dituduh membakar mayat mangsa di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting pada 30 Ogos lepas antara pukul 9.45 malam dan 12 tengah malam.
Suresh yang tiada pekerjaan tetap pula didakwa menghilangkan bahan bukti itu dengan membuang abu mayat keempat-empat mangsa itu ke dalam Sungai Panchau, Jalan Morib, Banting pada 31 Ogos lalu di antara pukul 8 pagi hingga 10 pagi.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu bagi mengelakkan peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Khatavarayan daripada diambil tindakan undang-undang.
Sebenarnya, pendakwaan Pathmanaban dan tiga pekerja Rabu lalu hanyalah permulaan kepada proses mencari keadilan bagi Sosilawati dan rakan-rakannya yang dibunuh kejam. Terpulanglah kepada pihak berkuasa untuk membuktikannya.sumber

No comments: