Pages

Saturday, October 23, 2010

China buat persiapan hadapi taufan


MULAKAN PEMBERSIHAN: Pegawai polis tempatan menyodok lumpur di pejabat mereka di timur Taiwan, semalam selepas kawasan itu dilanda Taufan Megi yang menyebabkan tanah runtuh dan menjejas khidmat kereta api. -- Foto AFP

LUAR NEGARA

TAUFAN MEGI MELANDA


160,000 sudah dipindah ke tempat lebih selamat


BEIJING: Perkhidmatan penerbangan dan feri tergendala, dan sekurang-kurangnya 160,000 orang terpaksa dipindahkan sedang Taufan Megi, salah satu daripada ribut kuat yang melanda rantau itu sejak beberapa tahun lalu, menuju ke arah selatan China, semalam.
Taufan Megi, yang telah mengorbankan sekurangkurangnya 36 orang apabila ia melanda Filipina baru-baru ini dan menyebabkan kehilangan 20 warga China di Taiwan, dijangka melanda wilayah Fujian di selatan China sekitar lewat semalam atau awal pagi ini.Pihak berkuasa Fujian telah memindahkan 150,000 penduduk dari kawasan-kawasan rendah, manakala 10,000 lagi telah dipindahkan ke tempat lebih selamat di Guangdong.Pentadbiran Kelautan Negara China telah mengeluarkan amaran 'peringkat kuning' menjelang tibanya taufan itu, sambil berkata paras air boleh melepasi takat bahaya.Puluhan ribu bot nelayan di Fujian dan wilayah jirannya, Guandong, telah diarahkan supaya berlabuh.'Kekuatan taufan itu boleh memusnahkan bangunan, dok, perkampungan dan bandar,' kata Encik Bai Yiping, seorang pegawai kanan di Pentadbiran Kelautan Negara, seperti yang dipetik oleh laporan agensi berita rasmi Xinhua News.Lebih 200 warga China terkandas dan dalam keadaan bahaya di Taiwan awal semalam disebabkan Taufan Megi, dengan sekurang-kurangnya 19 daripadanya gagal dihubungi.Sebuah bas pelancong dilaporkan terkandas dalam kejadian tanah runtuh, kata pihak berkuasa pelancongan Taiwan, yang dipetik oleh laporan Xinhua.Lebih 500 pelancong China daripada 24 kumpulan pelancongan terkandas di sana sejak kelmarin akibat hujan lebat.Pasukan-pasukan menyelamat, yang terdiri daripada anggota tentera dan bomba, terpaksa berjalan membawa bekalan makanan ke kawasan-kawasan yang jalan rayanya terjejas oleh tanah runtuh.Jabatan meteorologi Taiwan berkata hujan lebat dan angin kencang terus melanda negara itu semalam, tetapi meramalkan ia akan reda hari ini.Sementara itu, pusat kaji cuaca kebangsaan China berkata Taufan Megi berada kira-kira 290 kilometer daripada sempadan wilayah Fujian dan Guangdong pada sekitar 11 pagi (waktu Singapura), semalam.Angin taufan itu mempunyai kelajuan maksimum 173 kilometer sejam.Pihak berkuasa China telah mengarahkan pihak berkuasa dua wilayah berkenaan supaya mengukuhkan lagi 'benteng laut' dan melindungi kemudahan perikanan, lapor Xinhua.Beberapa syarikat penerbangan, termasuk China Southern Airlines, dan beberapa perkhidmatan penerbangan domestik membatalkan khidmat mereka ke Guangdong dan Xiamen. -- AFP.

No comments: