Pages

Saturday, October 23, 2010

Tiub tertinggal di perut lepas bedah?



TETAP BERTERIMA KASIH: Encik Amri tidak marah walaupun tiub sepanjang kira-kira 25 sentimeter ini dipercayai tertinggal dalam perut beliau semasa beliau menjalani pembedahan amputasi separuh badan di TTSH pada Mei 2007. -- Foto TUKIMAN WARJI

SINGAPURA


Oleh
Linilidia Abdul Hamid

SEBAGAI seorang yang telah menjalani pembedahan amputasi separuh badan, Encik Amri Mohd Samat terdedah kepada bedsor, atau ulser kulit, yang disebabkan oleh tekanan berpanjangan pada kulit.
Oleh kerana tidak tahan akan masalah bedsor yang dihadapinya di bahagian bawah badan, Encik Amri, 44 tahun, mendapatkan rawatan di Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) pada 23 September lalu.Tetapi alangkah terperanjatnya beliau apabila satu pemeriksaan di KTPH menunjukkan ada selingkar tiub di dalam perutnya.'Sebelum ke KTPH saya memang ada rasa sakit perut. Kadang-kadang rasa macam kejang otot di perut, tapi saya sangka ia sakit biasa,' ujar Encik Amri ketika ditemui di KTPH semalam.Penemuan itu membuatkan beliau tertanya- tanya bagaimana tiub itu boleh berada dalam perutnya.'Adakah tiub itu tertinggal semasa saya menjalani pembedahan amputasi separuh badan atau ia hanya berlaku setelah pembedahan dilakukan,' ujarnya Encik Amri, yang masih bujang.Beliau menjalani pembedahan amputasi separuh badan kerana masalah bedsor yang mengancam nyawanya di Hospital Tan Tock Seng pada Mei 2007.'Masalah bedsor begitu teruk, ia memamah isi punggung dan paha saya sampai saya terkena jangkitan dan kemudian koma,' ujar Encik Amri, yang tidak bekerja dan mendapat bantuan daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).Ketika itu doktor memberi beliau pilihan menjalani amputasi separuh badan dan mempunyai 50 peratus peluang hidup atau tidak menjalani pembedahan dan biarkan jangkitan itu berlarutan, yang berkemungkinan membawa maut.'Tentu saya pilih peluang untuk hidup, walaupun peluangnya hanya 50 peratus,' ujarnya.Sebelum menjalani pembedahan amputasi itu Encik Amri lumpuh dari bahagian pinggang ke bawah akibat satu kemalangan motosikal ketika berusia 21 tahun.Beliau hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda dan tekanan berpanjangan pada bahagian punggung serta pahanya menyebabkan masalah bedsor itu.Pembedahan amputasi Encik Amri mengambil masa 15 jam.Pembedahan rumit itu dipercayai yang pertama dilakukan di Singapura ketika itu.Encik Amri berasa lega tiub sepanjang kira- kira 25 sentimeter itu sudah dikeluarkan dari perutnya dan beliau tidak sedikit pun menyimpan dendam atau rasa marah terhadap doktor yang merawatnya.Sebaliknya beliau amat berterima kasih kepada mereka.'Para doktor dan kakitangan TTSH telah banyak membantu semasa saya mengalami situasi mengancam nyawa saya tiga tahun lalu.'Saya cuma ingin tahu bagaimana tiub itu boleh ada dalam perut saya dan pembaca mengambil iktibar daripada apa yang berlaku pada saya,' ujarnya.Semasa dihubungi, TTSH melalui Pengerusi Lembaga Perubatannya, Profesor PhiIip Choo, meminta maaf di atas insiden itu.'Kami telah menghubungi Encik Amri untuk meminta maaf. Kejadian itu tidak sepatutnya berlaku dan kami sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengelakkan kejadian serupa berulang,' kata Profesor Choo dalam e-mel kepada Berita Harian semalam.Pihaknya gembira Encik Amri tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kesilapan itu.

No comments: