Pages

Saturday, October 23, 2010

Bogel lagi?



Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
2010/10/23

Mallika Sherawat
Mallika Sherawat
Mallika Sherawat tayang tubuh demi watak dewi ular 

SEKSI itu cukup sinonim buat pelakon popular ini. Memiliki tubuh yang menggiurkan dan seraut wajah jelita membuatkan Mallika Sherawat begitu cepat meledak, sekali gus meletakkan namanya setaraf dengan pelakon Bollywood lain. Walaupun ada yang menganggap Mallika hanya menjual paras rupa dan bentuk tubuh berbanding bakatnya yang sebesar hama itu, namun pemilik nama sebenar Reema Lambha ini tidak pernah mempedulikan kata nista seperti itu.
Sebaliknya dia tetap teguh dengan pendirian untuk terus mengekalkan imej seksinya. Malah, aktres itu pernah berkata dia suka menjayakan babak seksi melampau dalam setiap lakonannya. Begitulah pengakuan berani mati yang pernah dilafazkan pelakon yang pernah menembusi pasaran antarabangsa menerusi filem The Myth, sekitar 2005 ini.
Biarpun ada yang memperkecilkan bakatnya, pelakon yang juga model ini tidak pernah tunduk pada cercaan seperti itu. Semangatnya tidak pernah pudar, bahkan semakin marak dan secara perlahan-lahan, hasratnya untuk beraksi di persada Hollywood menjadi kenyataan apabila terpilih menjadi pelakon utama filem yang menyaksikan kolaborasi antara India dan Amerika Syarikat. 

Bukan calang-calang watak yang dipegang Mallika dalam filem ini. Selepas Reena Roy dan Sridevi, kini watak Dewi Ular yang cukup popular suatu ketika dulu kembali semula ke layar lebar apabila Mallika melakonkan peranan berkenaan dalam filem berjudul Hisss, yang turut dikenali sebagai Nagin: The Snake Woman. 

Bayangkan bagaimana keadaannya apabila Mallika membawakan watak ular jadian? Pastinya ramai yang tidak sabar menanti filem yang bakal ditayangkan di Malaysia pada 29 Oktober depan. 

Sebaik saja melihat sedutan filem ini menerusi internet, tidak dinafikan Mallika menggunakan setiap inci tubuhnya untuk menarik perhatian penonton, sehinggakan ada babak yang menunjukkan seolah-olah dia berbogel di depan kamera. Ketika diajukan pertanyaan kepada si empunya diri apakah dia memang berlakon tanpa seurat benang dalam filem itu, Mallika lebih senang membiarkan perkara itu menjadi tanda tanya. 
“Saya tidak mahu berkata apa-apa. Anda semua yang mengatakan saya berbogel bukan? Jadi jika anda ingin mengetahui sama ada saya berbogel atau tidak, anda perlu menonton sendiri filem ini. Biarlah ia menjadi satu kejutan,” kata Mallika dalam satu temubual yang diaturkan oleh pengedar filem ini, Nusantara Edaran Filem, baru-baru ini. 

Walaupun belum pernah bertentang mata, namun Mallika cukup ramah di talian. Setiap patah bicaranya, disulami dengan ketawa terutama apabila perbualan kami menyentuh hal-hal yang melucukan. 

Bukan mudah memegang watak ular, banyak kerenah yang terpaksa dihadapinya. Namun sedikit pun dia tidak merungut walaupun mengakui hakikat watak itu benar-benar mencabar kredibilitinya sebagai seorang anak wayang. 

“Untuk membawakan watak seekor ular ini saja, saya perlu menghabiskan masa selama empat hingga lima jam sehari untuk memakai kostum dan mengenakan solekan yang sesuai. Sangat menyeksakan, terutama apabila sudah mengenakan kostum ular. 
Saya tidak boleh pergi ke tandas kerana pergerakan amat terbatas, ditambah dengan kostum yang ketat menyebabkan saya perlu diangkat untuk ke set penggambaran. 

“Saya juga banyak melakukan kajian mengenai watak ini. Saya buat penyelidikan untuk mempelajari pergerakan seekor ular. Mujurlah saya seorang yang tidak takut pada reptilia itu. Memandangkan ada babak yang memerlukan saya mencium dan bermesra dengan ular, jadi saya biasakan diri dengan bermain dengan haiwan berkenaan sehinggakan pengarah filem ini terkejut melihat kemesraan kami,” katanya yang menjadikan Sridevi sebagai idola untuk filem ini. 

Komitmen Mallika terhadap Hisss nampaknya sangat tinggi sehinggakan dia sanggup hadir bersama ular sawa sepanjang 6.7 meter ketika menyertai Festival Filem Cannes 2010, semata-mata untuk mempromosikan filemnya. 

Hisss menceritakan kisah dewi ular, Naagin, yang menjelma menjadi wanita cantik demi membalas dendam. Naagin mengembara ke bandar untuk mencari pasangannya yang diambil dari hutan oleh warga Amerika bernama George bagi tujuan penyelidikan, tanpa mengetahui musibah menanti dirinya. 

Uniknya filem ini, ia ditangani seorang sutradara dari Amerika, Jennifer Lynch. Sebagai orang luar, tertanya-tanya juga apakah pengarah ini memahami selok-belok budaya serta lenggok cerita terbabit, yang kaya dengan mitos serta legenda yang begitu berkait rapat dengan masyarakat di sana? 

“Walaupun dia orang luar, dia mampu memberikan keseimbangan antara mengekalkan ciri-ciri tradisional dan juga menambah elemen kontemporari,” kata pelakon berusia 29 tahun ini, sekali gus memuji Jennifer yang disifatkannya sebagai sutradara cukup kreatif. 

Dalam Hisss, Mallika bukan saja berlakon, sebaliknya dia turut menyumbangkan suara untuk dimuatkan dalam album runut bunyi filem berkenaan. Lebih menarik apabila dia menyanyikan lagu yang dicipta khas oleh anak John Lennon, Julian, menerusi lagu Sway. 

“Memang seronok apabila diberi peluang untuk menyanyi dalam filem ini. Teruja kerana berpeluang bekerjasama dengan Julian dan dia seorang yang hebat,” pujinya. 

Selain bahasa Inggeris, Hisss juga dibuat dalam versi bahasa Tamil, Telugu dan Malayalam. Filem terbitan Venus Records & Tapeni ini membabitkan lokasi penggambaran di hutan Kerala, Mumbai, Chennai, Madh Island dan di studio Filmistan (Mumbai). Ia menampilkan lakonan hebat Irfan Khan, Divya Dutta, Raman Trikha dan pelakon Amerika, Jeff Doucette.

No comments: