Pages

Friday, September 10, 2010

Tengku Faris Sultan Kelantan?





KOTA BHARU 9 Sept. – Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra dipercayai akan dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan Isnin ini bagi menggantikan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra yang gering sejak setahun lalu.
Istiadat pemasyhuran itu dikatakan bakal dilangsungkan di Balairong Seri Istana Balai Besar di sini bermula pada pukul 11.30 pagi.
Terdahulu, Utusan Malaysia telah dimaklumkan satu program khas akan diadakan pada hari tersebut di Istana Balai Besar dan meminta wartawan serta jurugambar memakai pakaian kebangsaan berwarna hitam mengikut protokol rasmi.
Bagaimanapun pegawai terbabit tidak mendedahkan secara terperinci mengenai program itu dan maklumat lengkap akan hanya disampaikan kepada media pada hari berkenaan.
Sementara itu sumber lain memberitahu, istiadat pemasyhuran tersebut akan dilangsungkan selepas mesyuarat penuh kerajaan negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada sebelah pagi.
“Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga diminta hadir pada istiadat tersebut dengan berpakaian lengkap mengikut istiadat istana.
“Pihak polis juga diarah supaya meningkatkan kawalan keselamatan pada hari berkenaan malah cuti anggota polis sempena Hari Raya Aidilfitri di beberapa unit tertentu turut ditarik balik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Spekulasi mengenai pertabalan Sultan Kelantan yang baru bertiup kencang sejak seminggu lalu dan beberapa petunjuk seperti yang dinyatakan sebelum ini seolah-olah mengesahkannya.
Sebelum ini, Institusi Diraja Kelantan dilanda krisis yang berpanjangan sejak Tuanku Ismail Petra gering dan mendapatkan rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 14 Mei 2009.
Ekoran itu, Tengku Muhammad Faris yang juga anakanda sulung baginda telah dilantik sebagai Pemangku Raja sebelum baginda berangkat ke Hospital Mount Elizabeth.
Sementara itu, seorang ADUN yang enggan identitinya didedahkan mengesahkan beliau telah menerima jemputan ke Istana Balai Besar dengan pakaian istiadat tetapi beliau tidak dimaklumkan mengenai majlis tersebut.
“Ya saya menerima jemputan untuk ke Istana Balai Besar pada hari raya keempat tetapi saya tidak diberitahu majlis apa. Kami cuma diarahkan supaya memakai baju Melayu hitam mengikut istiadat rasmi diraja,” katanya.

No comments: